rap

Cikgu Azman 'unsung hero' Gemencheh Boys

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya tak tahu main kriket pun dan bertindak sebagai jurulatih saja untuk anak murid saya, Shafiq Sharif dan kawan-kawannya di Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan Utara (SKBRU) ketika itu," kata Cikgu Azman Aziz yang menjadi 'unsung hero' dalam filem Gemencheh Boys.

Terdahulu, Cikgu Azman hadir menyaksikan tayangan malam gala filem Gemencheh Boys arahan Jason Chong bersama Eric Ong di GSC Midvalley, di sini, malam semalam, yang sekali gus membuktikan anak Felda juga boleh berjaya dalam mengejar impian.

Dijemput naik ke podium sebagai kejutan daripada Shafiq untuknya, Cikgu Azman mengakui tidak mampu menahan sebak di hati apabila dikalungkan pingat oleh atlet kriket kebangsaan itu sebagai tanda penghargaan atas jasa besarnya.

"Jiwa saya terusik sebab tak pernah merasa naik podium seumur hidup kerana saya bukan atlet. Sebaliknya, saya hanya bertindak sebagai jurulatih saja. Yang naik podium ini selalunya adalah Shafiq.

"Saya juga tak minta apa-apa penghargaan pun. Cuma, terima kasihlah kerana menghasilkan filem ini yang bagi saya adalah sebagai satu pembelaan kepada guru satu Malaysia.

"Untuk filem Gemencheh Boys ini, saya suka dan mencintainya sebab di dalamnya ada rasa sedih, ada marah, ada kecewa dan ada juga membangkitkan perasaan kemegahan yang akhirnya membawa kepada kejayaan," katanya kepada Harian Metro.

Cikgu Azman bagaimanapun meminta maaf kepada penonton kerana filem Gemencheh Boys itu tiada kisah cinta pasangan kekasih, tetapi lebih menjurus kepada kasih sayang dan nilai persahabatan yang utuh.

"Apapun, saya sangat terharu apabila jasa sebagai seorang pendidik dihargai oleh anak-anak murid saya yang sudah berjaya mengejar impian dan kejayaan dalam hidup mereka.

"Saya juga berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat membawa 10 ke 15 orang anak murid saya beraksi dalam perlawanan kriket hingga peringkat kebangsaan, walaupun saya bukan seorang pemain kriket pun," katanya.

Menurut Cikgu Azman, Gemencheh Boys adalah adaptasi perjalanan daripada kisah sebenar dirinya dan enam budak Felda yang digelar 'Enam Jahanam' yang berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan kriket dan diyakini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

Mengulas juga lakonan Pekin sebagai dirinya dalam filem itu, Cikgu Azman berkata, dia berpuas hati dengan persembahan serta komitmen yang diberikan oleh pelakon asal Kelantan berkenaan.

"Walaupun 'made in Kelantan', tapi slang Negeri Sembilan dia agak mantap. Cuma, nak kata sama macam saya tidaklah, tapi menyerupai saja. Terima kasih kepada Pekin kerana bawakan watak saya dengan baik dan selepas tonton, saya bagi 4.5 bintang," katanya.

Filem Gemencheh Boys akan ditayangkan di pawagam mulai 26 Oktober ini yang berkisar tentang atlet kebangsaan Shafiq Sharif yang pernah mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Selain Pekin, pelakon berpengalaman lain ialah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Farah Ahmad, berserta sandaran bakat baharu lakonan iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama.

Disiarkan pada: October 10, 2023 @ 3:40pm
d