rap

'Saya bukan nak tengok Aliff' - Sophia Albarakbah

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Petaling Jaya : Pelakon, Sophia Albarakbah menjelaskan kehadirannya ke program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) tiada kaitan dengan salah seorang pesertanya, Aliff Aziz seperti yang diperkatakan dalam media sosial.

Sebaliknya, menurut aktres jelita ini, dia sekadar menemani sepupunya, Aisha Retno yang menjadi penyanyi undangan salah satu slot program itu.

"Saya pergi sebab saya nak beri sokongan kepada Aisha. Kalau saya diberi peluang untuk pergi lagi sekali pun, saya tak kisah.

"Lagipun, saya dah minta izin daripada pengurus saya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel di sini, hari ini.

Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 35) itu berkata, dia tidak melihat kehadirannya ke program realiti itu sebagai satu kesalahan besar.

"Program ini ada ramai artis jadi saya berhak untuk pergi dan sokong sesiapa saja. Kalau saya bertembung dengan Aliff, tak ada masalah pun. Lagipun, isu saya dan Aliff sudah lama berlalu," katanya.

Terdahulu, ketika mengulas kehadiran pelakon sensasi itu ke program berkenaan, Aliff dilaporkan berkata, perkara itu di luar bidang kuasanya.

Sebelum ini, Sophia dan Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa menjalinkan hubungan cinta ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Disiarkan pada: October 10, 2023 @ 9:32pm
d