rap

Masjid di Thailand tempat Syamsul, Ira nikah jadi tumpuan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Masjid Besar Wilayah Songkhla Thailand kian menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia selepas tular berita perkahwinan pengarah Syamsul Yusof dan isterinya, Ira Kazar yang bernikah di sana selain rekaan dan landsakap masjid seperti Taj Mahal.

Seorang pemandu pelancong dari syarikat Ummu Travel yang ingin dikenali sebagai Saiful, 40, berkata fakta itu turut dikongsikan kebanyakan pemandu pelancong lain terutama kepada pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana.

"Masjid itu memang sudah terkenal dalam kalangan orang kita untuk bernikah. Apatah lagi di tingkat dua terletaknya pejabat agama mereka.

Kiranya, kalau nikah di situ memang diiktiraf pun dan selepas itu mereka perlu serahkan borang di Kedutaan Malaysia. Memang mudah saja urusannya. Namun, ia bertambah popular selepas tersebarnya berita perkahwinan Syamsul.

"Sebelum tiba di kawasan Pantai Samila, Songkhla akan melalui masjid ini. Satu fakta menarik yang akan dikongsikan kepada pelancong adalah perkahwinan pasangan terbabit.

Dalam masa sama, ada juga yang dah tahu. Kadang, ada yang dah bertanya lebih awal sama ada akan singgah di masjid itu atau tidak," katanya kepada Harian Metro.

Selain menjadi pemandu pelancong, Saiful juga sering menjadi rujukan warga tempatan terutama mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di wilayah itu.

"Kita tak ada pakej ini, tapi macam saya secara peribadi ada saja yang bertanya macam mana kalau nak pergi kahwin di sana. Saya okay saja untuk kongsikan caranya. Selebihnya mereka kena buat sendiri. Sebab tak susah pun," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2023 @ 3:26pm
d