rap

'Datang tengah malam, bawa ramai orang, panggil saya pengemis, memang la saya keluar bawa parang'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Dihina sebagai pengemis dan diganggu dengan kehadiran pemilik rumah secara berkumpulan pada waktu tengah malam untuk menghalaunya keluar dari rumah sewa itu.

Itu punca penyanyi, To'ki bertindak mengeluarkan parang ketika pemilik rumah sewanya datang menuntut sewa tertunggak.

To'ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, 58, menerusi temubual dalam program Melodi semalam berkata, tindakannya itu sebagai melindungi diri dari sebarang kemungkinan.

"Bayangkan apabila tuan rumah datang jam 12 tengah malam bawa orang ramai depan rumah memanggil saya pengemis. Kenapa cakap macam tu?

"Saya mesti lindungi keluarga saya, ibu mentua saya kena 'stroke' (angin ahmar) dah dua tahun. Kalau tengah malam datang nak halau saya sampai bawa enam ke lapan orang, jadi untuk lindungi diri saya ambil parang," katanya.

To'ki turut mendedahkan punca bayaran sewa tertunggak selama dua bulan disebabkan dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga ibu mentuanya yang sakit.

"Setiap manusia ada jatuh dan bangun. Sebelum ini kan bayar, cuma dua bulan terakhir ini tak bayar sewa. Ini kerana saya perlu menjaga mentua dan termasuk keadaan ekonomi tidak menentu.

"Saya bukan tak nak bayar, cuma salahnya emosi. Bila (pemilik rumah) datang, bawa orang ramai, disebut pula pengemis. Kenapa orang itu bercakap seperti itu?

"Saya mesti melindungi keluarga saya. Mak mentua saya mengalami stroke dan kemudian isteri. Jadi kalau semalam datang nak halau saya, enam hingga lapan orang ni macam mana? Jam 4 pagi pun pernah telefon, mesej di WhatsApp ugut dan menghina, kalau To'ki lambat bayar, saya akan viralkan," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi itu turut menafikan dakwaan bil elektrik yang mencecah RM6,000. Namun, dia mengakui bil elektrik melambung tinggi kerana penggunaan pendingin hawa. Tapi bila ada dakwaan saya tak bayar bil elektrik RM6,000 itu tidak benar," katanya.

To'ki berkata, dia masih mengambil upah menyanyi di sebuah restoran, namun ia tidak seberapa.

Selain menanggung keluarga dan mentua yang sakit, To'ki juga menanggung dua anak dengan bekas isteri yang masih bersekolah dan menuntut di universiti.

"Tawaran kerja kurang. Walaupun saya ni susah, tetapi saya tidak berhutang dengan orang, tak pernah mengemis depan orang. Saya kerja cari duit. Saya tak meminta atau mengemis," katanya.

Ditanya berkenaan isu membuang sampah merata-rata, To'ki turut menyangkal dakwaan ini.

Katanya, ada seorang jiran yang memang tidak suka dengan kehadirannya di kawasan itu.

"Saya tidak tahu apa masalah manusia ini. Ada seorang jiran ini, saya dah banyak kali cuba buat baik dengannya tapi dia masih tak suka saya.

"Mula-mula saya datang duduk lebih kurang seminggu. Bila dia cakap kalau tak sesuai duduk sini, boleh balik ke hutan. Tak apalah, saya abaikan saja,"

"Bukan nak kata saya sombong, saya pun manusia juga. Kita bukan anak orang kaya, kita cuma orang seni yang biasa," katanya.

To'ki bersyukur apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantunya menyelesaikan tunggakan sewa selain mencari kediaman baharu buatnya.

"Ada hikmah walaupun dimalukan sebegini. Saya tahu kalau orang aniaya, Allah nak angkat darjat kita. MAIWP bantu saya nak carikan rumah," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2023 @ 10:25am
d