rap

Sama tapi tak serupa

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon, Qasrina Karim, 27, menyifatkan wajahnya mungkin ada iras dengan Mira Filzah, namun apa yang membezakan mereka adalah personaliti diri.

Qasrina berkata, dia bersikap terbuka kepada sesiapa saja yang mahu terus menyamakannya dengan Mira, namun perbezaan personaliti diri antara mereka tidak dapat dielak.

"Kita serupa tapi tak sama dan antara saya dengan Mira pun, kami tiada masalah.

"Pada saya, berkaitan muka sama dengan Mira ini sebenarnya bukan benda yang buruk tapi ada kebaikan juga sebab memudahkan kami apabila mendapat peluang berlakon bersama untuk watak adik-beradik," katanya.

Mengulas mengenai perbandingan dalam lakonan, Qasrina berkata, antara dia dan Mira sudah tentu mempunyai perbezaan masing-masing ketika berlakon.

"Saya rasa setiap orang walaupun muka dikatakan sama, tapi perbezaan tetap ada. Personaliti diri tetap lain, cara membawa watak dalam lakonan lain dan saya percaya orang (penonton) boleh nampak dalam drama ini (My Famous Ex-Boyfriend).

"Apatah lagi, saya bukanlah jenis suka nak meniru gaya lakonan siapa-siapa termasuk Mira. Saya pun sebelum ini sebenarnya pernah berlakon dengan Mira dan dia akui kami nampak serupa, tapi tetap lain.

"Bagi sesiapa yang sudah mengenali saya pada kalangan pengarah dan pekerja produksi, masing-masing akan kata bila dah kenal saya memang lain daripada Mira walaupun iras wajah kami nampak serupa," katanya.

Qasrina berkata, dia kini gembira rezekinya dalam karier seni semakin murah dan mahu membuat yang terbaik dalam setiap watak lakonannya selagi masih mendapat peluang.

Terbaharu, Qasrina melakonkan watak Sameera dalam drama My Famous Ex-Boyfriend bersama Nadhir Nasar dan Hael Husaini arahan Hadith Omar.

Disiarkan pada: October 19, 2023 @ 12:27pm
d