rap

Dua anak tinggal bersama Adibah

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon, Miera Liyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 50, mendapat hak penjagaan sementara atau interim dua daripada tiga anaknya selepas bekas suami, Rosland Othman memfailkan tuntutan pada 24 Mac lalu.

Adibah berkata, dia yang sudah sepenuh hati bersedia dengan apa saja keputusan mahkamah amat bersyukur apabila anaknya iaitu Nur Liyana, 18, dan Nurin Tasnim, 11, memilih untuk tinggal bersamanya.

"Alhamdulillah, ini keputusan anak-anak yang memilih dengan siapa mereka mahu tinggal. Saya gembira dan berpuas hati dengan keputusan daripada mahkamah pada hari ini untuk hak penjagaan sementara.

"Bagi seorang lagi anak saya, Nur Anisa, 12, pula, memang sudah dijangka akan memilih tinggal bersama bapanya. Sebagai ibu kandung, saya hormati keputusan itu kerana ia dibuat atas pilihannya sendiri.

"Saya juga pernah katakan sebelum ini, anak-anak berhak untuk memilih sama ada mereka mahu tinggal dengan ibu atau bapa. Tinggal dengan siapa pun, tetap ibu bapa mereka," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Adibah hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan hak penjagaan interim ke atas tiga anaknya di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Hussain.

Pada prosiding hari ini, Adibah selaku defendan diwakili peguam, Md Taufeq Al Amin Sahri, manakala Rosland diwakili peguam, Nurul Balqis Nordin.

Adibah berkata, dia akan mengurus semula persekolahan anak bongsunya, Nurin Tasnim untuk sentiasa hadir ke sekolah berikutan banyak sesi pembelajaran yang tertinggal kerana sering tidak hadir sebelum ini.

Tidak hanya itu, Adibah berkata, dia juga buat masa ini enggan menyerahkan passport Nur Anisa dan Nurin Tasnim yang diminta bekas suami untuk membawa mereka bercuti ke luar negara apabila ada bayaran tertunggak yang belum diselesaikan bekas suaminya itu.

"Saya tiada masalah mengenai passport anak, cuma minta dia (bekas suami) selesaikan dulu hutang-hutang tertunggak sebagaimana sudah diperintahkan oleh mahkamah," katanya.

Adibah ditemani anak keduanya, Nur Iffah, manakala Rosland pula datang bersama ibu mentua, Aishah Abdullah dan anak keempatnya, Nur Anisa.

Sementara itu, perbicaraan untuk tuntutan hak hadanah penuh atau penjagaan kekal anak akan disambung mahkamah mulai 7 Disember depan.

Pada perbicaraan 4 September lalu, Shamsuddin memanggil Nur Liyana, Nur Anisa dan Nurin Tasnim bagi mengambil keterangan daripada mereka sama ada mahu tinggal bersama bapa atau ibu mereka.

Sebelum ini, pasangan Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Disiarkan pada: October 19, 2023 @ 4:19pm
d