rap

Wanita dalam mimpi penyanyi tiada kena mengena dengan Sophia 

Oleh Ramlah Zainal

 

Shah Alam: "Saya rasa tidak perlu komen tentang isu itu kerana tidak ada kena mengena dengan saya," kata pelakon Sophia AlBarakbah. 

Sophia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan netizen dirinya adalah wanita yang muncul dalam mimpi penyanyi Shila Amzah yang dikatakan cuba mengganggu suaminya iaitu personaliti media sosial Ubaidillah atau lebih mesra disapa Ubai. 

Biarpun Shila tidak menyebut nama pelakon wanita berkenaan, namun netizen memetik nama Sophia sekali gus  dikaitkan dengan mimpi penyanyi itu.

Menurut Sophia, 30, dia tidak perlu memberi sebarang kenyataan memandangkan perkara itu tidak ada kena mengena dengan dirinya. 

"Netizen tahu ya dia (Shila) mimpi siapa (ketawa). Hebat netizen kita," katanya ketika ditemui di program Famili Duo musim ketiga (FD3) dekat Studio NTV7, Glenmarie, malam ini.

Mengenai kehadirannya pada konsert FD3 pula, kata Sophia, dia teruja apabila pertama kali hadir di program realiti hiburan itu.

Sebelum ini, Sophia pernah hadir pada program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dan mengakui dirinya memang meminati acara hiburan. 

"Ini pertama kali saya hadir pada FD3 dan saya mahu melihat semua persembahan terlebih dahulu. 

"Selepas melihat kesemuanya baru saya tahu nak sokong peserta yang mana nanti," katanya.

Menurut Sophia lagi, dia  memang minat acara hiburan, tetapi bukan untuk menjadi penyanyi.

"Kalau menyanyi pun hanya untuk diri sendiri," katanya.

 

Disiarkan pada: October 22, 2023 @ 11:23pm
d