rap

Elisya Sandha mahu cuba sesuatu berbeza, cabar diri

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon, Elisya Sandha, 24, mengakui penampilan beraninya yang memuat naik foto berpakaian seksi di Instagram baru-baru ini disebabkan atas tuntutan kerja semata-mata.

Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Sandha Hassan ditemui berkata, penampilan seksi itu juga selari dengan konsep fotografi yang harus dipenuhi sebagaimana ditetapkan produksi untuk mempromosikan produk terbabit.

"Kenalah berani untuk tampil berbeza. Apatah lagi, ini untuk karier saya juga. Saya pun ingin cuba sesuatu yang berbeza dan mencabar diri. Jadi, sekali-sekala saya rasa memang perlu berani tampil sebegitu.

"Cuma, saya masih ada batas lagi untuk seksi itu. Tapi, ramai saja yang seksi kan. Lebih-lebih lagi, bagi tujuan promosi global. Jadi mestilah kena berbeza dan lebih berani," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Elisya hadir pada majlis pelancaran Unifi TV Originals di pawagam ibu kota yang turut dihadiri ramai pelakon terkenal tanah air, di sini, petang tadi.

Ditanya juga penerimaan ibu mentuanya, Sheila Rusly, Elisya berkata, dia bersyukur mendapat keluarga mentua yang amat memahami tuntutan kerjanya sebagai selebriti.

"Mak mentua saya faham kerana dia juga pemain industri. Malah, sebelum kahwin dengan suami, Uzair Haqimy pun saya memang begini (penampilan diri), jadi itu bukan satu isu baharu.

"Sebenarnya, saya ada juga baca komen-komen yang ditulis netizen sampai terdetik dalam hati, mama (Sheila) kena marah ke? Tapi, bila fikir balik, saya kenal ibu mentua saya.

"Dia faham kerja saya dan seorang yang sangat terbuka. Saya juga bukanlah wanita yang selalu muncul dengan penampilan seksi. dan itu adalah atas tuntutan kerja untuk majalah saja.

"Suami saya pun tidak menegur hantaran yang dimuat naik itu. Cuma jika dia ada tegur, saya mesti akan padam dan ganti dengan hantaran foto yang baharu," katanya.

Baru-baru ini, Elisya berdepan kecaman daripada segelintir netizen di media sosial yang mendakwa dia tidak sensitif dengan isu pergolakan dan kekejaman regim Zionis di Gaza, Palestin.

Katanya, apa yang dimuat naik di Instagram itu adalah hanya tuntutan kerja kerana perlu dibuat mengikut tarikh yang ditetapkan dan foto itu juga sudah disusun lama untuk setiap hantaran .

Disiarkan pada: October 23, 2023 @ 9:36pm
d