rap

Ezzrin Loy tak selesa video dia bersama Sharifah Rose ditularkan

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Pelakon, Ezzrin Loy mengakui kurang selesa apabila video dia menuruni eskalator bersama rakan pelakon, Sharifah Rose yang dirakamkan secara sembunyi dan tular beberapa bulan lalu.

Ezzrin atau nama sebenarnya, Ahmad Ezzrin Loy, 26, berkata, video itu mengandungi privasi yang bukan saja buat dirinya, tetapi membabitkan banyak pihak.

Menurut Ezzrin, mereka juga tidak keluar berdua, sebaliknya bersama seorang lagi rakan.

"Kami baru habis makan tengahari bersama rakan selepas pulang bermain golf. Cuma, saya kurang selesa apabila video ini diambil secara sembunyi dan ditularkan.

"Ia membabitkan privasi orang lain, jadi rasanya tak perlu disebarkan. Banyak lagi isu lain lebih penting daripada cerita turun eskalator," katanya.

Enggan mengenai hubungan rapatnya dengan Rose, Ezzrin mengakui selesa berkawan baik dengan pelakon cantik itu.

Katanya, dia sudah lama mengenali Rose dan hubungan itu sama seperti rakan-rakan lain dan saling mengenali sejak bergelar penuntut.

"Saya tak boleh cakap lebih kerana ia membabitkan soal peribadi orang lain. Lagipun, kalau nak keluarkan apa-apa kenyataan saya kenalah dapatkan keizinan Rose dan ibu bapanya terlebih dulu.

"Sebenarnya apa saja hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, itu adalah situasi terkini saya. Saya akan muat naik semua foto mereka yang rapat dan istimewa dalam hidup saya.

"Sama macam orang lain juga, setiap foto dimuat naik tentunya ada nilai sentimental tersendiri," katanya.

Ezzrin yang semakin rancak berlakon selepas memilih berehat kerana ingin lari daripada watak budak sekolah kembali rapat dengan Rose selepas berlakon dalam drama Ku Punya Hati.

Disiarkan pada: October 26, 2023 @ 3:51pm
d