rap

Zizi Kirana syukur tidak pernah terdetik buka tudung

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Sejak tampil bertudung dua tahun lalu, penyanyi, Zizi Kirana bersyukur apabila hatinya tidak pernah sedikit pun terdetik untuk kembali membuka tudung.

Zizi berkata, dia sentiasa mengingatkan dirinya mengenai niat awalnya bertudung sebelum ini dan bersyukur perjalanan untuk kekal bertudung dipermudahkan.

"Setakat ini tidak pernah lagi terdetik nak buka tudung. Suami pun selalu ingatkan saya dan kami sama-sama dekatkan diri dengan agama.

"Saya sentiasa ingat niat awal saya bertudung dulu. Benar ada ketika kita lalai dan sebab itu saya selalu ingat apa yang membuatkan saya terdetik untuk berhijrah.

"Kisah dulu semua sudah berlalu tapi saya jadikan setiap perjalanan itu sebagai pengajaran. Itu juga satu proses Allah telah aturkan untuk saya menjadi Zizi Kirana seperti hari ini," katanya.

Menurut Zizi, sebagai manusia dia sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan bergaul dengan persekitaran yang positif supaya dirinya kekal istiqamah.

"Saya selalu ditanya soalan bagaimana nak kekal istiqamah dalam bertudung ketika diundang untuk beberapa program, tetapi soalan itu susah saya nak jawab.

"Cuma saya sentiasa dapatkan tunjuk ajar ustazah dan mereka kata pilih rakan-rakan yang betul. Cari orang sekeliling yang sama-sama mahu menuju jalan kebaikan tapi ingat itu bukan bermakna kita membuang kawan-kawan lama.

"Persekitaran kita memainkan peranan untuk terus kekal. Sebenarnya takut juga andai saya tidak istiqamah," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2023 @ 2:03pm
d