rap

'Saya tak nak dan tak mahu ambil tahu pasal Ira' - Datin Patimah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Ibu kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail enggan mengambil tahu mengenai gosip yang mengaitkan anak sulungnya itu sudah berpisah dengan Ira Kazar.

Patimah ketika dihubungi berkata, dia hanya menganggap pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai satu-satunya menantu menerusi perkahwinan dengan Syamsul sebelum ini.

"Saya tak ambil tahu. Apa yang saya tahu menantu saya adalah Puteri Sarah Liyana, tapi mereka sudah berpisah.

"Apa yang berlaku seterusnya saya tidak tahu. Bagi saya itu 'isteri tidak berdaftar' jadi saya tiada komen," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu nama Syamsul dan Ira dipetik oleh netizen selepas tular gosip seorang pengarah terkenal menceraikan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp dan dihalau keluar rumah.

Dalam pada itu, Patimah enggan memanjangkan kenyataan yang dikeluarkan suaminya yang juga penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam mengenai anak sulungnya yang sudah lama tidak pulang ke rumah berjumpa orang tuanya.

"Betul lah apa yang suami saya cakap, tapi saya tak nak ungkit lagi.

"Saya tak nak merosakkan nama Syamsul lagi. Jadi saya tiada komen mengenai pertanyaan ini," katanya.

Semalam Yusof menerusi satu temu bual bersama media mengalirkan air mata apabila mendedahkan Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah.

Yusof turut mengingatkan anaknya agar jangan menunggu sehingga orang tuanya sudah tiada, baharulah dia mahu mencari mereka.

Disiarkan pada: October 30, 2023 @ 3:21pm
d