rap

Isteri Ajak Shiro ulang alik ke sekolah lebih 152 km sehari hingga dimasukkan ke hospital

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro berharap permohonan pertukaran sekolah yang dibuat isterinya, Nur Afifah Amin tahun ini diluluskan berikutan masalah tulang belakang yang dihidapi selain jarak perjalanan ke tempat kerja lebih 152 kilometer (km) setiap hari.

Ajak ketika dihubungi berkata, isterinya kini terpaksa mengambil cuti sakit selama dua minggu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.

"Isteri saya sudah membuat permohonan pertukaran sekolah lebih lima kali sejak dua tahun lalu. Namun, mereka hanya maklumkan permohonan tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.

"Sebagai suami sudah tentu saya risaukan keselamatan isteri yang berulang-alik dari Petaling Jaya ke Nilai, Negeri Sembilan selama dua tahun ini. Ditambah pula, dia kini mengalami masalah tulang belakang hingga menyebabkan dia terpaksa cuti sakit selama dua minggu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap dua hari sekali.

"Isteri saya memang tak boleh nak memandu kereta seperti dulu. Nak buat kerja berat pun doktor tak izinkan sebab bimbang akan memberi tekanan dan masalah kepada tulang belakangnya nanti.

"Saya buat hantaran di media sosial bukan sengaja nak meraih simpati, tapi sekadar nak berkongsi saja. Tak sangka pula ramai yang mengalami nasib sama, malah ada kakitangan kerajaan yang lebih dahsyat ujian yang mereka perlu hadapi apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga bertahun-tahun lamanya," katanya.

Menurut Ajak, luahan kekecewaan yang dibuat itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya ingin memberitahu isterinya juga melalui proses permohonan sama tanpa sebarang bantuan 'orang dalam'.

"Ada yang beranggapan kalau dari latar belakang artis boleh guna orang dalam untuk mendapat kelulusan. Hakikatnya isteri saya melalui proses yang sama dan menunggu kelulusan daripada pihak bertanggungjawab.

"Isteri saya mohon ini pun bersebab. Sekarang ini sudah tahap jatuh sakit. Dia pun tak naklah menyusahkan mana-mana pihak seperti tiba lewat di tempat kerja dan risau akan dikenakan tindakan tatatertib.

"Saya sudah cuba pujuknya untuk berhenti kerja, tapi ini yang dia minat. Dia masuk universiti pun sebab nak jadi pendidik, takkan saya nak halang. Cuma saya mohon permohonan terakhir yang dilakukan pada tahun ini mendapat kelulusan," katanya.

Terdahulu, Ajak meluahkan rasa kecewa di media sosial apabila permohonan pertukaran sekolah yang dibuat isterinya sejak dua tahun lalu tidak diluluskan pihak bertanggungjawab.

Disiarkan pada: November 3, 2023 @ 3:43pm
d