rap

Tia Jinbara hidap barah hati

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur: Bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, disahkan menghidap barah hati dan sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Berkongsi perkembangan terkini penyanyi itu, isteri merangkap pengurusnya, Suzan Ahmad berkata, Tia yang dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak Rabu lalu, berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan doktor.

"Tia dimasukkan ke hospital Rabu lalu selepas mengadu sakit perut. Sebenarnya, sakit di bahagian perut itu sudah lama tapi abaikan. Disebabkan tak tahan sakit, saya bawa dia ke hospital.

"Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor sahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah.

"Tia kini stabil dan sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Selayang kerana ada pakar di situ. Mungkin minggu depan baru dapat tahu jenis rawatan bagaimana yang boleh mereka lakukan," katanya kepada BH Online.

Ditanya penerimaan bekas peserta program realiti Gegar Vaganza (Gv) musim keempat itu terhadap berita itu, Suzan berkata, suaminya sangat kuat.

"Sejujurnya memang susah nak jelaskan pada dia. Suami beritahu saya, dia mahu terus hidup. Saya cakap padanya, selagi ada cara untuk merawatnya, kita akan cuba tak kisahlah dengan apa cara sekali pun.

"Alhamdulillah dia sangat tenang ketika menerima perkhabaran itu. Sebagai isteri, saya kena tunjukkan padanya yang saya juga kuat dan tabah.

"Cuma dia pesan, biarlah proses rawatan penyakitnya dipercepatkan. Difahamkan doktor di sini sudah pun berbincang dengar pakar di Hospital Selayang untuk mempercepatkan proses rawatan,' ujarnya dalam nada sebak.

Sehubungan itu, Suzan yang juga bekas wartawan BH berharap peminat penyanyi yang popular dengan lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) itu dapat memanjatkan doa semoga suaminya segera sembuh.

Tia dan Suzan mendirikan rumah tangga pada Mei 2009.

Disiarkan pada: November 5, 2023 @ 2:49pm
d