rap

Shila Amzah tuntut hak, perlu dihormati

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: "Kalau dia nyatakan kepada saya, hutang ada sekian-sekian. Tetapi, tetap juga, saya tak izinkan dia duduk di rumah saya sebab saya tak ada kaitan apa-apa."

Demikian kata penyanyi, Shila Amzah, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan wanita bernama Eiza Idanie Che Saleh, yang tinggal di rumahnya selepas dipelawa ibu bapanya.

Shila ketika ditemui berkata, dia tidak ada kaitan dengan wanita itu, bahkan, tidak ada kaitan dengan sebarang hutang antara wanita itu dengan adiknya, Amir Shafiq.

"Secara normalnya, rumah itu rumah siapa? Itu kita kena ambil kira. Saya tak ada kaitan apa-apa dalam hal ini. Saya tak ada kaitan dengan dia. Memang tiada.

"Benda ini kelakar sebenarnya. Sebab itulah dari awal lagi, saya macam, cukuplah, diamlah, tak perlu buat 'live' (di media sosial) lagi. Kalau kami nak keluarkan kenyataan, lagi banyak lagi," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Shila, dia bukanlah ingin memainkan 'peranan' sebagai tuan rumah atau apa, namun, menjaga hak dan kehormatan dirinya sebagai individu.

"Saya sebenarnya, memang tak ambil tahu apa-apa. Saya dah tak mahu popularkan orang yang tak perlu. "Tempoh hari, saya suruh dia keluar, memang patut pun dia keluar. Saya dah lama bersabar. Jadi, semasa dia duduk di rumah saya, kalau betul dia bekerja pun, saya tak tahu apa-apa.

"Saya jenis orang yang tak suka kalau orang datang ke rumah saya tanpa pengetahuan saya. Inikan pula tinggal di situ.

"Saya bukan nak memainkan peranan sebagai tuan rumah. Tapi, perlu ada rasa hormat itu. Saya rasa, kehormatan diri itu patut ada pada semua orang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai Eiza yang menafikan mempunyai hubungan dengan Shafiq, dihutang oleh Shafiq dan wangnya sebanyak RM8,000 pernah digunakan oleh bapa Shila, Datuk ND Lala untuk satu urusan pendaftaran perniagaan.

Disiarkan pada: November 6, 2023 @ 3:54pm
d