rap

'Saya, Syamsul hanya kawan biasa' - Irene

Oleh Fatin Farhana Ariffin

 

Kuala Lumpur: "Kami sekadar kawan biasa sebab Syamsul kenalan emak dan ayah, bukan saya. Memang hanya kenalan 'hi bye'." Demikian penjelasan ahli perniagaan, Irene Deanna, 25 yang digosipkan menjalinkan hubungan bersama pengarah kontroversi, Syamsul Yusof.

Irene menafikan dakwaannya dan Syamsul menjalinkan apa-apa hubungan selepas tular gambar sedang makan malam bersama.

"Itu sekadar gambar sahaja. Sebenarnya, Syamsul datang atas urusan kerja dengan syarikat permotoran, jadi kami ambil gambar bersama sebab dia adalah kenalan keluarga.

"Saya tak tahu nak komen sebab tiada apa-apa pun. Jadi, 'no comment'," katanya.

Irene ditemui pada sidang media Konsert Stars On Fire di Hotel Le Meredien, di sini, petang tadi.

Tambah Irene, dia terkejut namanya dipetik dan menjadi bualan netizen selepas gambar bersama Syamsul tular.

Bagaimanapun, Irene mengakui, dia tidak terganggu dengan gosip sedemikian.

"Saya terkejut, tapi sememangnya tiada apapun.

"Syukur, gosip ini tidak menganggu emosi saya. Saya buat kerja macam biasa.

"Tiada 'stress' atau apa-apa, saya okay sahaja," katanya.

Irene berkata, dia membaca komen netizen dan hanya mampu ketawa bila membaca setiap dakwaan dilemparkan.

"Saya baca dan hanya tergelak," katanya.

Ditanya sama ada dirinya sudah berpunya, Irene enggan mengulas.

"Itu pun saya tiada komen," katanya ringkas.

Terdahulu, Irene didakwa menjalin hubungan dengan Syamsul selepas tersebar foto Syamsul menghadiri makan malam yang disertai keluarga wanita itu.

Turut kelihatan, sekeping gambar pengarah sensasi itu berdua bersama Irene.

 

 

Disiarkan pada: November 6, 2023 @ 5:56pm
d