rap

Wanna bimbang dikecam jika nyanyi 'live'

Oleh Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Penyanyi dan pelakon Wanna Ali, mengakui dia sebenarnya tidak boleh menyanyi secara 'live' (langsung) di hadapan penonton.

Menurut Wanna atau nama sebenar, Nor Syazwana Mohd Ali, 25, dia juga akan menolak jika ada tawaran untuk buat persembahan secara langsung termasuk dalam program hiburan di kaca televisyen.

"Secara jujurnya, saya sendiri sedar dengan tahap kemampuan diri sendiri.

"Memang saya tahu bila menyanyi secara 'live' akan ke laut dan kena kecam dengan netizen," katanya ketika ditemui pada sesi temubual drama bersiri lakonannya untuk Slot Akasia TV3, Bukan Sekadar Lafaz yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, baru-baru ini.

Mengenai single duet bersama penyanyi Aiman Ismail, Bukan Sekadar Lafaz pula, kata Wanna, dia terima tawaran untuk menyanyikan lagu itu kerana ia runut bunyi untuk drama berkenaan.

Lagu Bukan Sekadar Lafaz yang juga duet Wanna bersama bapa tirinya, Aiman adalah hasil ciptaan ibunya sendiri, penerbit drama, Datuk Ayu Puteh.

"Saya juga bersedia untuk menyampaikan lagu duet ini kerana ia lagu runut bunyi drama Bukan Sekadar Lafaz dan proses rakaman juga di studio.

"Terus terang saya tidak boleh menyampaikan lagu itu lebih baik jika persembahan secara langsung," katanya.

Ditanya sama ada dia tidak kisah jika lagu itu disampaikan penyanyi lain dalam pertandingan, Wanna tiada halangan untuk perkara itu.

"Saya boleh menyanyi lagu Bukan Sekadar Lafaz untuk runut bunyi sahaja tetapi kalau untuk pertandingan, saya akan menolaknya.

"Pada masa sama, saya juga tidak menghalang jika lagu itu dinyanyikan artis lain dalam pertandingan," katanya.

Mengulas sama ada dia merancang mahu meninggalkan karier nyanyian pula, kata Wanna, buat masa ini, dia mahu fokus pada rezekinya yang lebih menyebelahi pada bidang lakonan.

Disiarkan pada: November 7, 2023 @ 1:25pm
d