rap

Hairi bengang pempengaruh media sosial buat hal di lokasi penggambaran

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Hairi Safwan mendedahkan kesabarannya teruji apabila terdapat seorang pempengaruh media sosial TikTok yang sudah membuang masa dirinya dan seluruh pasukan produksi telefilem Hang Nak P Mana? selama lebih enam jam hanya untuk menjayakan satu babak mudah.

Hairi ketika ditemui berkata, pempengaruh terbabit yang hadir tanpa sebarang persediaan masih sempat melakukan siaran langsung di TikTok.

"Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila ada satu babak dengan seorang pelakon tambahan yang memakan masa lebih enam jam. Ketika itu proses penggambaran bermula sekitar jam 12 tengah malam dan hanya berakhir jam 6.40 pagi.

"Sebelum nak mulakan babak itu saya tanya kepada pengarah siapa pelakon tambahan untuk babak seterusnya ini, pengarah beritahu individu itu adalah seorang pempengaruh media sosial. Saya pun okey saja tapi selepas dia mengambil skrip dia masih sempat buat 'live' di TikTok.

"Kemudian sekitar jam 11.30 malam saya ajak dia untuk membuat sedikit latihan kerana nak pastikan babak ini berjalan dengan lancar. Malangnya dialog yang dilontarkan agak tergagap, namun dia beritahu sudah maklumkan kepada pengarah yang dia akan melontarkan dialog sepatah demi sepatah.

"Ibaratnya satu perkataan yang dilontarkan pengarah akan 'cut' dan dia akan sambung semula dengan perkataan lain. Sudahnya babak itu selesai awal pagi. Saya dimaklumkan sebelum pempengaruh itu terima tawaran ini dia beritahu sekiranya tiada dialog dia tidak mahu terima, sudahnya apabila dah beri peluang jadi begini pula," katanya Hairi ditemui media pada majlis pelancaran telefilem Hang Nak P Mana? yang bakal menemui penonton di Astro First pada 9 November ini.

Menurut Hairi, dia tidak serik untuk bekerjasama dengan pempengaruh media sosial pada masa mendatang, tetapi dia mengingatkan agar pendatang baharu ini untuk melakukan persediaan rapi sebelum datang ke set penggambaran.

"Cuba hargai pengarah dan seluruh pasukan produksi supaya kerja orang tak jadi lambat. Sebelum masuk set tolong hafal skrip yang diberikan sebab memang tiada masa untuk berlatih di lokasi penggambaran.

"Kalau saya mungkin masih boleh layan lagi apabila pelakon itu susah nak selami karaktornya. Saya akan cuba bantu, tapi apabila ada pempengaruh yang bila diajak untuk berlatih tetapi cuba mengelak saya memang malas nak ambil peduli.

"Bagi saya, ego anda tidak tercalar pun sekiranya anda bertanya. Masalah akan terjadi apabila anda tidak fokus dengan kerja yang anda lakukan dan buat benda lain seperti 'live' di set penggambaran.

"Selama ini saya selalu dengar artis senior merungut dengan sikap pelakon baharu, tapi kali ini kena pada batang hidung sendiri. Pernah juga saya lihat pelakon senior memarahi pelakon baharu, tapi saya cuba ambil pendekatan untuk membantunya. Mungkin saya seorang tenaga pengajar jadi saya tahu nak memudahkan urusannya," katanya.

Selain Hairi, telefilem Hang Nak P Mana? arahan Asri Baq'U Tajudin itu turut dibintangi Joey Daud, Wafariena dan Rahim Jailani.

Disiarkan pada: November 7, 2023 @ 5:39pm
d