rap

Dekati kelompok sasar

Oleh Minda Ranggong

Kira-kira 300 individu terdiri daripada komuniti orang pekak berjaya dikumpulkan ketika sesi tayangan khas atau 'wayang pacak' sempena filem m.

Ia membabitkan beberapa lokasi terpilih antaranya YMCA di Pulau Pinang, Port Ipoh dan Johor Baharu yang berlangsung sekitar awal bulan lalu.

Penerbit juga teraju utama produksi filem berkenaan, Bea dan suaminya, pengarah Yasu Tanaka, berkata program itu adalah cara alternatif sebelum tayangan di pawagam untuk menyampaikan filem itu secara terus kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, dia gembira kerana dapat berkongsi filem itu dengan penonton dan melihat reaksi mereka menerusi tayangan khas itu.

"Tayangan khas filem ini adalah versi 'closed caption' untuk memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran," katanya.

Sebagai bekas guru pendidikan khas, Bea berkata, tayangan di YMCA, Pulau Pinang berjaya menarik seramai lebih 150 kanak-kanak dan dewasa pekak (CODA).

Kata Bea lagi, kerja kerasnya dan Yasu untuk menganjurkan tayangan khas filem magiK juga membuahkan hasil apabila melihat orang ramai menghayati filem berkenaan.

"Pekak bukan kecacatan tetapi mereka mempunyai keupayaan yang berbeza," katanya.

Bea juga mengucapkan terima kasih dengan kerjasama diberikan pihak Port Ipoh kerana berjaya menjayakan acara tayangan khas dua hari dan menampilkan penonton yang sangat berbeza.

"Pelakon utama filem ini, Beto Kusyairy turut hadir dan ia adalah kali pertama dia menonton filem itu," katanya.

Bea berkata, apa yang terbaik daripada tayangan khas kali ini ialah mereka dapat berkongsi filem magiK dengan komuniti pekak.

Katanya, tayangan khas di Ipoh berjaya menarik seramai 100 orang termasuk dari Persatuan Orang Pekak Perak (POPP), Sekolah Rendah Khas untuk orang pekak dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Tidak ketinggalan, kata Bea, tayangan di Embrace Hall, Johor Bahru dijayakan walaupun dengan penonton bersaiz kecil.

"Kerjasama dengan penduduk tempatan di Embrace Hall, Johor Bahru mengingatkan kami dengan komuniti kecil seni di Kuantan dan Sungai Petani sebelum ini," katanya.

Selain Beto filem magiK yang berkisar kepada kanak-kanak pekak berusia tujuh tahun, Kit di perkampungan yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip turut dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Filem ini akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air November ini.

Disiarkan pada: November 8, 2023 @ 6:50am
d