rap

Diserang 'anxiety', Khai Bahar simpan pisau elak cederakan diri kerana bisikan misteri

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi Khai Bahar mendedahkan pernah berdepan serangan 'anxiety' (kebimbangan melampau) sehingga mendengar bisikan untuk mencederakan diri sendiri.

Khai, 29, atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin mengambil pendekatan mengajak adik-beradiknya untuk tinggal bersama di ibu kota sebagai salah satu langkah menangani 'anxiety' yang dialami itu.

"Pernah satu ketika, saya menyimpan pisau di dalam almari kerana tidak mahu mencederakan diri sendiri kerana mendengar pelbagai bisikan. Malah, saya juga mendengar suara yang menyarankan saya untuk terjun balkoni di kondominium yang didiami.

"Oleh itu, saya mengambil langkah mengajak adik-beradik bersama pasangan mereka untuk tinggal bersama saya. Pelbagai ikhtiar yang saya lakukan untuk mengelak diri melakukan perkara yang tidak diingini. 

"Malah, saya juga mengambil tempoh yang lama untuk keluar melihat dunia kerana hanya ingin duduk terperuk di rumah saja. Keluar pun atas urusan kerja, jika tiada perkara yang penting memang saya hanya duduk di rumah.

"Ada juga masanya saya rasa seperti sesak nafas pada tengah malam dan terus dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Untuk menyedapkan hati, saya juga menjalani 'medical check up' dan hasilnya saya sihat walafiat," katanya pada program One On One.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Bayang itu, serangan 'anxiety' mula dialami sejak timbul rasa bimbang akan persepsi umum mengenai pelbagai kontroversi yang melanda dirinya. 

Dalam masa sama, Khai bersyukur akhirnya berjaya menangani 'anxiety' yang dialami dan berkongsi perkara itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit mental itu.

"Kita tahu apa yang terbaik untuk tubuh kita, jadi kita tahu apa yang harus dilakukan dan dielakkan daripada terkena serangan kebimbangan melampau ini. Jadi saya melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan serangan ini tidak lagi menyerang diri saya.

"Kepada semua pesakit mental yang melalui fasa yang sukar, percaya semua ini ada hikmah disebaliknya. Segera dapatkan bantuan pakar psikiatri dan jangan malu kerana penyakit berkaitan kesihatan mental," katanya.

 

Disiarkan pada: November 8, 2023 @ 12:41pm
d