rap

The Gadys ada aura tersendiri

Oleh Minda Ranggong

Kuala Lumpur: Kemunculan 'girl band' The Gadys sejak 2021 memberi warna baharu dalam industri muzik mendapat maklum balas baik daripada peminat sekalipun ada yang menganggap mereka dibayangi oleh satu lagi kumpulan sensasi Dolla.

The Gadys yang dibarisi dua anggota asal Aznie Azmi dan Ayunie Rizal kini dimantapkan lagi dengan muka baharu Thamiera Chan, berkata identiti ditampilkan mereka semestinya menampakkan perbezaan dengan kumpulan yang sedia ada.

"Kami menerima positif tanggapan tersebut kerana setiap 'girl group' mempunyai kelainan masing-masing dalam persembahan mereka.

"Apa yang bezakan kami dengan kumpulan yang lain adalah konsep, karakter, muzik dan tarian yang kami persembahkan. Kami masih 'hijau' lagi dalam industri ini dan akan teruskan apa yang kami nak buat," kata Aznie kepada Harian Metro.

Baru-baru ini, The Gadys muncul dengan lagu Gagal Cinta ciptaan Ragu Lewi, Mage, Glowrush dan Pique.

Di Youtube, rata-rata netizen memberikan komen positif dengan persembahan mereka dan ramai yang memuji mengenai konsep yang diketengahkan oleh The Gadys dalam lagu Gagal Cinta.

Tambah The Gadys, mereka bersyukur kerana netizen memberikan komen positif terhadap lagu Gagal Cinta.

"Alhamdulillah, ada juga maklum balas yang baik kami baca daripada lagu Gagal Cinta ini. Akhirnya netizen dapat melihat kelainan The Gadys berbanding kumpulan muzik yang lain," kata The Gadys.

Disiarkan pada: November 9, 2023 @ 5:12pm
d