rap

RTM terima permohonan maaf isu mekap pembaca berita dikecam macam Suzanna

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini secara terbuka menerima permohonan maaf oleh seorang pemilik akaun TikTok dikenali sebagai @syukfendi berhubung penularan imej pembaca berita mereka yang menjelikkan.

Individu terbabit, memuatnaik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan dari studio RTM Melaka yang bersiaran jam 5 petang semalam.

Klip yang dimuat naik berdurasi 18 saat itu memaparkan penyampai berita RTM Melaka (bukan pengacara seperti didakwa), Nor Amalina Abdul Halim disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, mendiang Suzanna.

Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, hasil semakan pasukannya mendapati rakaman video asal berita terbabit yang disiarkan melalui platform RTMklik dan siaran di televisyen pada petang hari berkenaan tidak seperti yang ditularkan.

"Video yang tular itu seolah-oleh disunting semula, terutama solekan di bahagian lingkaran mata penyampai berita berkenaan.

"RTM khususnya bahagian berita cukup terbuka dalam menerima pandangan, teguran atau nasihat orang ramai sebagai penonton setia semua program terbitan stesen ini.

"Bagaimana pun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, RTM bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuatnaik kenyataan maaf di platform media sosial.

"Kami mengingatkan pengguna-pengguna media sosial khususnya TikTok lebih cakna dan bijak dalam memuatnaik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan," katanya.

Terdahulu, sebuah portal hiburan terkenal turut memetik hantaran individu terbabit yang menerima pelbagai reaksi dari netizen.

Isu ini turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman apabila turut memuatkan kenyataan ini menerusi Instagramnya.

Disiarkan pada: November 11, 2023 @ 7:03pm
d