rap

Wanna Ali elak babak bersentuhan dengan suami orang

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Pelakon, Wanna Ali sentiasa menghormati dan menjaga batas apabila menjayakan sesebuah karya dengan pelakon yang berstatus suami orang.

Terbaru, lakonan Wanna bersama Alif Satar menerusi drama Bukan Sekadar Lafaz menerima maklum balas positif apabila dikatakan berjaya menghidupkan babak romantis walaupun tiada babak bersentuhan keterlaluan.

Wanna berkata, sebagai pelakon dia enggan melukakan hati sesiapa dan sedar diri apabila berlakon dengan suami orang.

"Kalau ada babak bersentuhan kami pasti berlapik. Saya pun tidak minta Alif untuk pegang tangan saya kerana sebagai pelakon saya perlu menghormati statusnya sebagai suami orang.

"Saya memang tahu apabila berlakon dengan Alif tak boleh ada babak bersentuhan, jadi saya sangat menghormati dia, isteri dan prinsipnya.

"Lagipun di Malaysia ini kalau seseorang itu sudah ada pasangan, kita memang tidak digalakkan untuk melakukan babak yang sebegitu.

"Bagaimanapun, saya sangat bersyukur apabila penonton masih boleh merasai kemesraan yang kami bawakan pada setiap episod," katanya ketika ditemui di majlis tayangan episod akhir drama Bukan Sekadar Lafaz di sebuah restoran di Kota Damansara, di sini, semalam.

Menurut Wanna, sebelum drama terbabit mula ditayangkan di slot Akasia TV3, dia dan Alif mengaku berdebar menantikan maklum balas penonton.

"Alhamdulillah drama ini diterima baik oleh semua lapisan penonton. Cuma mungkin waktu tayangannya kurang sesuai kerana kita semua tengah berduka dengan nasib yang menimpa Palestin.

"Tapi saya perlu berterima kasih kepada penonton dan peminat kerana terus setia menyokong dan memberikan maklum balas positif mengenai drama ini.

"Malah saya juga menerima banyak mesej peribadi daripada pengikut yang turut berdepan penyakit Sindrom Ovarium Polisistik (PCOS) seperti dalam watak yang saya jayakan. Sekurang-kurangnya drama ini memberi kesedaran kepada penonton mengenai penyakit ini," katanya.

Selain Wanna dan Alif, Bukan Sekadar Lafaz terbitan Pencil Pictures Sdn Bhd turut menampilkan lakonan Yuna Rahim, Malek Mccrone, Mia Nasir, Wanns Ahmad, Razzuan Rosli dan Ahmad Idham.

Disiarkan pada: November 14, 2023 @ 7:59am
d