rap

Enggan memandai-mandai

Oleh Norhayati Nordin

Seiring masa berlalu dengan usia yang makin meningkat, hanya ketenangan diri, kegembiraan keluarga dan kebahagiaan persekitaran lebih diutamakan berbanding perhatian pihak luar.

Justeru, memilih untuk 'berdiam diri' adalah lebih baik bagi pelakon, Nora Danish, 42, yang mengakui tidak gemar terlalu lantang bersuara terhadap sesuatu perkara.

"Apabila memasuki fasa usia yang semakin meningkat sekarang, ia lebih mematangkan dan saya cukup berhati-hati terhadap setiap tindakan terutama ketika membuat hantaran di media sosial.

"Ditambah sekarang agak banyak isu semasa 'panas' yang timbul hingga membuat saya rasa lebih baik berdiam diri daripada memberi maklum balas atau cuba campur tangan," katanya.

Menurut ibu dua cahaya mata ini, dia enggan memandai-mandai terhadap isu dihadapi orang lain kerana khuatir berbalik kepada diri sendiri, anak atau pun keluarga.

Nora yang kini memiliki 7.3 juta pengikut di Instagram pastinya mempunyai pengaruh tersendiri, tetapi dia cukup sedar dengan situasi kebanyakan netizen yang suka mengkritik, mengecam dan sebagainya.

"Bagi saya, netizen masa kini kalau kita buat silap sedikit mesti akan kena (kecam). Jadi, sekarang boleh dikatakan saya agak tenang sebab jika hendak muat naik sesuatu di media sosial akan fikir banyak kali.

"Sebabnya, saya dah berkeluarga dan ada anak. Oleh itu, saya lebih selesa fokus pada apa yang patut saja dan kalau tidak perlu, saya tak akan muat naik apa-apa pun di media sosial," kata isteri Nedim Nazri ini.

Nora yang cukup dikenali dengan sitkom Puteri berkata, dia juga jarang meninggalkan komen pada hal semasa yang panas atau berbaur peribadi membabitkan orang lain kerana takut perkara itu berbalik kepada dirinya sendiri.

"Kadang-kadang kalau lantang bercakap mengenai hal orang, bahaya juga kerana bila kena pada diri sendiri, baru kita tahu. Jadi, tak payah nak sibuk dan lebih baik diamkan diri dan bercakap bila perlu saja.

"Apa pun, cukup sekadar saya tahu wujudnya isu itu, lihat perkongsian yang dibuat di media sosial dan tidak perlu bersuara kerana ia pasti lebih menenangkan diri kita serta gembira," katanya.

Terdahulu, Nora hadir pada sesi fotografi filem Sayu Yang Syukur di Domitys Bangsar, di sini, dengan disertai pengarah yang juga pelakon, Datuk Aaron Aziz yang bergandingan buat kali pertama dengannya.

Berbicara mengenai filem itu, Nora berkata, ia masih mengisahkan percintaan dan romantik yang sesuai untuk dirinya termasuk peluang bekerjasama dengan Aaron buat julung kali.

"Rezeki saya dapat bekerja dengan Aaron agak lama juga menunggunya sebab peluang lambat. Saya gembira kerana kami mudah membentuk keserasian dan tahu apa diinginkan Aaron dalam arahannya.

"Walaupun baru kali pertama jadi pengarah filem, Aaron mudah bekerjasama dan boleh berbincang. Saya selesa dan penggambaran pun berjalan lancar dan kami semua kerja dalam suasana ceria tanpa tekanan.

"Saya lihat Aaron ada bakat sebagai pengarah dan diharapkan supaya filem Sayu Yang Syukur ini diterima baik penonton di pawagam nanti. Saya mohon beri sokongan pada karya filem tempatan kita," katanya.

Sayu Yang Syukur terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd diarahkan Aaron pada 2015 dan selepas lapan tahun 'terperam', ia akan ditayangkan mulai 28 Disember depan.

Selain Nora dan Aaron, filem ini juga dibintangi Mohd Khafairie, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

Disiarkan pada: November 20, 2023 @ 6:46am
d