rap

'Bercakap' dengan kelip-kelip

Oleh Minda Ranggong

Sekalipun tidak perlu menghafal dialog dalam filem magiK, namun bakat seni Qisya Hairulzain diakui pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka cukup hebat.

Qisya pelakon utama yang membawa watak kanak-kanak pekak bernama Kit cukup memberi impak besar.

Anak kepada pelakon, Amanda Misbun ini dipilih menerusi proses uji bakat.

Menurut Yasu, dia menyukai Qisya kerana memiliki karakter sangat pendiam dan sama seperti watak Kit dalam filem magiK.

"Qisya sangat fokus dan memahami arahan sepanjang di lokasi penggambaran filem ini.

"Saya percaya Qisya adalah salah seorang daripada bakat kanak-kanak yang mampu menyerlah dalam industri ini pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Qisya mengakui gementar untuk melakonkan watak itu, namun berjaya mengatasi rasa takut selepas pengarah menjadikan filem Disney kegemarannya, Frozen sebagai contoh di mana Puteri Elsa dilahirkan dengan kuasa mencipta salji dan ais manakala Kit pula mempunyai kuasa berkomunikasi dengan kelip-kelip.

"Saya kagum dengan jalan cerita filem ini yang memaparkan kisah kanak-kanak pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.

"Pengarah dan kru produksi banyak membantu saya menjiwai babak dengan kelip-kelip 'khayalan' yang turut menampilkan sentuhan Imej Janaan Komputer (CGI)," kata Qisya yang mempelajari bahasa isyarat dengan Bea Tanaka yang juga bekas guru pendidikan khas OKU pendengaran.

Tambah Qisya, dia seronok dapat belajar bahasa isyarat dan melakonkan watak sebagai kanak-kanak pekak juga mudah kerana dia tidak perlu menghafal dialog.

Ditanya mengenai cabaran dihadapi sepanjang penggambaran pula, Qisya berkata, dia juga berdepan kesukaran ketika penggambaran atas bot dan sungai pada waktu malam.

"Watak Kit sangat dekat dengan alam semula jadi sedangkan saya pula berasal dari bandar dan pastinya berdepan cabaran ketika penggambaran di sungai dan dalam hutan.

"Penggambaran di sungai lebih mencabar kerana dilakukan pada waktu malam yang gelap.

"Saya juga takut terjatuh dalam sungai, tetapi ada anggota bomba di sana menjaga keselamatan pelakon," katanya yang turut menyertai tayangan khas filem magiK bersama penonton OKU pendengaran di YMCA Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Qisya, filem magiK yang menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 30 November ini turut dibarisi pelakon terkenal negara antaranya Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman dan Kamarul Eqifshah.

Disiarkan pada: November 20, 2023 @ 6:50am
d