rap

Estranged rancang kolaborasi dengan Fazura semula

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kumpulan rock Estranged yang bakal mengadakan Konsert Apa Khabar Teman? pada 3 Februari depan di Persada Johor, Johor Bahru membayangkan mahu mengundang Fazura untuk terbabit sama dalam konsert itu.

Kumpulan yang dianggotai Rich (vokalis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) berkata, menerusi konsert ini, mereka akan mengembalikan ingatan peminat dengan lagu-lagu popular Estranged sebelum ini.

Antara lagu yang dikenali dan menjadi siulan ramai ialah Itu Kamu dan Hancur Aku berduet dengan Fazura yang dihasilkan pada 2015 yang mencipta kelainan dalam industri muzik tanah air.

Ia juga pernah mencipta fenomena dikalangan peminat, bahkan tersenarai dalam peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 pada 2016.

Konsert Apa Khabar Teman? juga menggunakan tema Hancur Aku yang diambil dari hit lagu sama menerusi album Sepenuhnya Vol. 1.

"Kalau Fazura dapat sertai lebih meriah kerana dia juga termasuk dalam perjalanan karier kami. Tapi kami belum dapat mengesahkan lagi perkara ini.

"Selain itu, ada juga perancangan untuk menjemput beberapa artis lain dalam konsert ini. Konsepnya santai untuk menghibur sesuai dengan nama konsert ini.

"Buat masa ini kami belum dapat sebutkan nama mereka kerana pengumuman mengenainya akan dibuat secara berperingkat," katanya pada sidang media konsert terbabit di Ace Cafe, Jalan Raja Abdullah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu dalam kategori Pop Rock ini berkata, mereka masih aktif menyanyi di Sabah dan bukanlah sudah hilang dari radar.

"Selepas tujuh tahun tidak aktif di semenanjung, kami ada sesuatu yang baharu untuk diperkenal dan diraikan bersama peminat.

"Kami pilih beraksi di Johor terlebih dahulu kerana merancang untuk bermula di selatan tanah air sebelum bergerak ke lokasi-lokasi lain di semenanjung.

"Lagipun kami difahamkan terdapat ramai warga Borneo bekerja di Johor dan mereka pasti akan menyokong konsert ini," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2023 @ 2:00pm
d