rap

'Syukur, dia dah sedar dan saya hanya cedera ringan' - Beto Kusyairy

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Pelakon, Beto Kusyairy sudah beransur pulih selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika menyertai konvoi ke Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Dalam kejadian di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara berhampiran Ladang Bikam itu, Beto bersyukur dia cuma mengalami cedera ringan dan turut bersyukur apabila seorang lagi peserta konvoi yang dilaporkan kritikal sudah sedarkan diri.

Menceritakan kejadian itu, Beto ketika ditemui berkata, dia cuba mengelak motosikal seorang peserta konvoi berkenaan, namun malangnya dia gagal mengawal motosikal dan merempuh motosikal terbabit.

"Saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri hampir seminggu. Namun, semalam dia sudah buka mata dan boleh duduk. Alhamdulillah.

"Saya pula tidak mengalami sebarang kecederaan teruk walaupun pada mulanya saya mensyaki ada bahagian anggota badan yang patah, tapi selepas menjalani ujian imbasan x-ray semuanya baik-baik saja. Cuma mengalami lebam di bahagian kiri badan," katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem MagiK di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Walaupun belum sembuh sepenuhnya dan belum boleh berjalan seperti biasa, namun Beto tetap memberikan sepenuh komitmen demi mempromosikan filem terbitan 42nd Pictures Sdn Bhd itu.

Dalam pada itu, Beto yang tidak serik untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson Road Glide miliknya itu berkata, dia hanya memberitahu isterinya mengenai kejadian itu selepas doktor mengesahkan tiada kecederaan serius.

"Waktu kejadian isteri saya baru saja tiba di Geneva, Switzerland atas urusan kerja. Dia beritahu pada waktu itu dia tidak sedap hati sehinggakan dia duduk di hentian bas selama dua jam dan termenung seorang diri dalam keadaan jantungnya berdegup laju.

"Masa itu saya memang tak beritahu dia sebab nak pastikan saya tiada apa-apa. Selepas saya maklumkan saja, dia terus nak balik Malaysia, tapi saya tenangkan dia dan beritahu saya okey.

"Pada awalnya saya agak bimbang dan takut jika berita ini sampai lebih awal daripada saya. Tapi Alhamdulillah saya dah yakinkan dia, saya baik-baik saja.

"Cuma ketika saya hubungi dia bimbang jika saya mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mujurlah saya tergerak hati nak pakai topi keledar jenis bertutup penuh," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Beto cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan ketika menyertai konvoi motosikal Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak pada 13 November lalu.

Konvoi itu diketuai penyanyi Wings, Datuk Awie.

Disiarkan pada: November 22, 2023 @ 10:01am
d