rap

Mawar Rashid, Raf sepakat berpisah

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Mawar Rashid, 28, mengakui dia dan suaminya, Raf Yaakob, 38, sudah mencapai kata sepakat untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman di dalam rumah tangga mereka.

Terdahulu, perkara itu didedahkan Mawar dan Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob secara bersama menerusi hantaran di muatnaik di Instagram Story, masing-masing.

"Kami berdua bersetuju untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman. Saya dan Raf masih  berbaik-baik seperti selalu.

"Fokus utama kami pada waktu ini adalah menyediakan sokongan dan kasih sayang yang diperlukan anak-anak. Kejayaan penjagaan bersama (anak-anak) amat penting dan itu adalah sesuatu yang kami sedang usahakan. Insya Allah," katanya.

Pada kenyataan dikongsikan itu, Mawar dan Raf turut meminta pengikut mereka di media sosial dan pihak media agar menghormati keputusan yang sudah dibuat itu serta mendoakan yang baik-baik.

"Kepada rakan-rakan media, tolong terima kenyataan ini daripada kami berdua. Kami berharap anda semua boleh menghormatinya.

"Pada pengikut kami di media sosial, kami berharap anda semua mendoakan yang baik-baik untuk kami berdua. Tolong jangan buat spekulasi dan sebarkan perkara negatif," katanya.

Mengakui mereka juga kini berduka di atas apa yang berlaku dalam rumah tangga dibina, Mawar bagaimanapun menyifatkan ia adalah keputusan terbaik bagi kedua-dua belah pihak.

"Kami berdua telah melalui keecewaaan yang memusnahkan dan sedih juga berkongsi berita ini dengan anda semua. Bagaimanapun, ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami berdua.

"Terima kasih kerana terus menyokong kami berdua dengan memberikan kata-kata yang baik kerana ia sangat bermakna buat kami," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Mawar dan Raf yang juga adik kepada penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley didakwa bakal bercerai yang sudah sepatutnya ke mahkamah syariah, semalam.

Mawar atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid melangsungkan pernikahan dengan Raf pada 9 November 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta kini berusia dua tahun dan Raden Seri Riyanna.

 

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 1:31pm
d