rap

Nadia Aqilah hanya mahu kerja 12 jam saja di lokasi

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Nadia Aqilah, 38, meletakkan syarat bekerja di lokasi penggambaran selama 12 jam sehari demi memberi tumpuan kepada keluarganya.

Nadia yang kini memiliki dua cahaya mata, Senja Aqila, 4 dan Bayu Aria, lima bulan, berkata, dia enggan melepaskan detik melihat anaknya membesar jika terlalu sibuk dengan urusan kerja.

"Saya sudah tidak boleh nak luangkan masa 23 jam di set penggambaran. Sekarang ini saya tetapkan jadual kerja saya hanya 12 jam sehari.

"Lagipun, saya masih menyusu badan. Jadi, saya perlu cari keseimbangan dan memilih dalam menerima tawaran," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem MagiK di sebuah pusat beli belah di sini, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Nadia berkata, dia dan suami bersepakat untuk memiliki hanya dua cahaya mata buat masa ini.

"Sekarang sudah ada sepasang iaitu anak lelaki dan perempuan. Rasanya sudah cukup buat masa ini.

"Saya nampak keakraban mereka. Malah saya sendiri pun tak boleh berenggang dengan anak-anak, setiap masa nak bersama kalau boleh.

"Suami saya pun okay dengan keluarga yang ada sekarang ini. Dia pun macam trauma apabila lihat saya mengalami alahan teruk sepanjang hamil. Tapi kalau ada rezeki lagi saya tidak menolak. Semuanya Dia yang tentukan," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2023 @ 5:03pm
d