rap

Nik Iruwan belum jumpa kelemahan Nabila

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Selepas lapan hari bergelar suami kepada penyanyi popular Nabila Razali, Nik Iruwan Nik Izani menyifatkan kehadiran isterinya itu sebagai detik terindah yang paling membahagiakan dalam hidupnya.

Nik Iruwan berkata, walaupun mereka baru berkenalan tahun ini, namun pada pandangannya isterinya itu cukup sempurna dan hebat

"Dia sempurna di mata saya. Malah, dia juga wanita yang baik dan fantastik. Saya cuba mencari di mana kelemahannya tapi belum jumpa lagi.

"Saya akui keputusan untuk bernikah dengannya adalah satu perkara yang besar dalam hidup saya, termasuk untuk Nabila sendiri. Saya tidak berbelah bahagi untuk berkahwin dengannya.

"Bagi saya, Nabila juga wanita yang sangat teratur dan bersemangat dalam apa saja yang dia ingin lakukan. Sepanjang tinggal bersamanya dalam tempoh seminggu ini, kehadirannya adalah detik yang paling membahagiakan dalam hidup saya," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingannya yang berlangsung di sebuah hotel di Damansara, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nabila memilih untuk tidak berkongsi tempoh mereka menjalin hubungan cinta sebelum mengambil keputusan untuk bernikah pada 18 November lalu.

"Pada pandangan saya, masa itu tidak penting tapi momen yang kami luangkan bersama ketika dalam tempoh terbabit cukup bermakna. Sepanjang kami berkenalan tidaklah berlangsung dengan sempurna, sudah tentu kami ada kekurangan dan kelebihan masing-masing, tapi perkara itulah yang melengkapi perhubungan kami berdua.

"Sepanjang perkenalan pun, suami saya saling melengkapi segala kekurangan yang ada pada diri saya. Selebihnya hanya Tuhan dan saya saja yang tahu. Saya harap perkahwinan ini kekal hingga ke jannah serta memohon doa daripada semua orang untuk perhubungan yang baru dibina ini," katanya.

Pada majlis persandingan yang bertemakan Batik Jawa itu, kira-kira 250 tetamu hadir menyaksikan detik terindah dalam hidup pasangan itu.

Lebih mengujakan, pelantun lagu Peluang Kedua itu diarak dengan menaiki tandu sejauh kira-kira 100 meter dari pintu masuk ke pelamin.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan rakan-rakan artis seperti Hael Husaini, Amira Othman, Neeta Manis, Aisha Retno dan Lah Ahmad.

Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri pada 18 November lalu dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Bukit Tinggi, Pahang.

Disiarkan pada: November 27, 2023 @ 3:41pm
d