rap

Dalami ibu gadis pekak

Oleh Najiy Jefri

KEHEBATAN pelakon, Nadia Aqilah dalam menghidupkan sesuatu watak cukup luar biasa.

Tidak hairan wanita berusia 38 tahun itu berjaya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Dunia Hong Kong menerusi filem Eva pada Oktober tahun lalu.

Terbaharu, Nadia mencabar kredibiliti lakonannya dengan mendalami bahasa isyarat demi melunaskan tanggungjawab sebagai ibu kepada gadis pekak dalam filem magiK.

Nadia berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk mempelajari bahasa isyarat, sekali gus memberi warna baharu dalam portfolio seninya.

Nadia menyifatkan peluang diterimanya itu sebagai satu peluang terbaik.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat belajar bahasa isyarat apabila diberi peluang berlakon dalam filem magiK.

"Sebelum ini, tiada watak yang memerlukan saya belajar bahasa isyarat. Jadi, peluang menghidupkan watak ini memberi peluang kepada saya menimba ilmu.

"Sebagai pelakon, saya tidak suka berada dalam zon selesa. Sudah tentu saya nak mencabar diri dan menjayakan watak yang tak pernah saya buat.

"Walaupun filem ini sudah menjalani penggambaran, tapi saya bercadang untuk masuk kelas bagi terus menguasai bahasa isyarat," katanya di majlis tayangan perdana magiK di pusat beli-belah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nadia berkata, dia yang memegang watak sebagai Fiza iaitu ibu kepada gadis pekak perlu bermain dengan emosi dalaman.

Katanya, selain lontaran dialog dia juga banyak bermain dengan ekspresi wajah dan penghayatan jiwa.

"Berpeluang bekerjasama dengan Yasu yang turut bertindak sebagai pengarah saya belajar banyak 'benda'

baharu.

"Yasu amat mementingkan 'storyboard' yang sudah disiapkan lebih awal. Jika sebelum ini pelakon berpandukan skrip semata-mata, tapi kali ini saya belajar sesuatu yang berbeza.

"Walaupun begitu, dia masih terbuka menerima pandangan daripada pelakon. Dia tidak menerima ideanya saja.

"Apa yang saya suka mengenai watak Fiza ini adalah saya tidak hanya melontarkan dialog, sebaliknya saya perlu banyak bermain dengan dalaman atau jiwa," katanya.

Selain Nadia, MagiK turut menampilkan bintang cilik, Qisya Hairulzain yang juga anak pelakon, Amanda Misbun.

Filem magiK mengisahkan Kit, seorang gadis pekak berusia tujuh tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya yang bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya pula mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun Kit tidak berani berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Selain Nadia dan Qisya, filem bergenre drama, keluarga dan fantasi ini turut menampilkan lakonan Beto Kusyairy, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman dan Kamarul Eqifshah. Ia ditayangkan mulai Khamis ini.

Disiarkan pada: November 28, 2023 @ 8:01am
d