rap

Atikah Suhaime, Lokman Teh nikah 21 Januari tahun depan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur : Pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime akan melangsungkan pernikahan dengan tunangnya yang juga ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada 21 Januari tahun depan di Kuala Lumpur.

Atikah, 32, ketika ditemui berkata, dia kini dalam proses menyempurnakan dokumentasi memandangkan perkahwinan ini membabitkan individu antara dua negara.

"Setakat ini semua dah bersiap sedia termasuklah untuk pakaian dan pemilihan solekan. Cuma yang tinggal adalah dokumentasi memandangkan perkahwinan kami membabitkan dua negara.

"Sebenarnya, kami rancang majlis ini di saat akhir juga dan kami pun baru bertunang bulan lalu. Jadi, sekarang, nak selesaikan perkara berkaitan dokumentasi saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime, Lokman adalah orang yang membuatkannya rasa tenang saat didampingi dan dilihat sebagai individu yang stabil dari pelbagai sudut.

"Saya tertarik dengan Lokman sebab saya rasa tenang bila ada dengan dia. Berbanding dengan yang lain, dia adalah pilihan terbaik.

"Dia berikan ketenangan dari segi mental, stabil dari segi kehidupan dan saya boleh nampak masa depan saya dengan dia. Selain itu, dia juga seorang yang bertanggungjawab.

"Selepas ini, setiap perkara yang saya nak lakukan saya kena minta izin daripada Lokman terlebih dulu, kemudian barulah saya berbincang dengan pengurus saya. Saya mohon, doakan yang terbaik untuk kami," katanya.

Sementara itu, Lokman, 34, berkata, dia tidak akan menghalang bakal isterinya itu untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun selepas berumah tangga.

"Selepas dah berkahwin, Insya-Allah, kami akan pergi berbulan madu. Tak ada halangan daripada saya untuk dia teruskan kerjaya lakonan, cuma saya lebih suka melihat dia berada dalam dunia perniagaan.

"Yang pasti, selepas ini kami akan fokus juga untuk membina keluarga. Jadi, mohon doakan kami," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2023 @ 6:09pm
d