rap

Angkat golongan istimewa

Oleh Najiy Jefri

Selepas filem Nota pada 2015, syarikat produksi 42nd Pictures Sdn Bhd tampil dengan filem kedua berjudul magiK.

Filem yang diterbitkan pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka ini mengangkat kelebihan dan keistimewaan golongan masalah pendengaran.

Bea berkata, bagi merealisasikan filem itu, dia mengambil masa selama setahun untuk penyediaan skrip hingga penghasilan 'storyboard'.

"Kami berjaya menghabiskan penggambaran dalam tempoh 30 hari tanpa hari tambahan, tahun lalu.

"MagiK adalah satu projek dekat dengan jiwa kami. Saya sudah lama mengimpikan menghasilkan filem mengenai insan yang mengalami masalah pendengaran, iaitu sejak awal perkahwinan saya dan Tanaka lagi.

"Namun, saya tak tahu nak kongsi kisah apa dan tiada idea. Kemudiannya, Tanaka tampil dengan idea selepas kami ke Kuala Selangor melihat kelip-kelip.

"Selepas melihat kelip-kelip terus tercetus idea, jadi kami gabungkan tema masalah pendengaran dan kelip-kelip. Disebabkan itu, Kuala Selangor adalah satu-satunya lokasi yang sesuai untuk sampaikan kisah ini," katanya.

Bea yang juga bekas guru pendidikan khas untuk golongan masalah pendengaran selama 15 tahun berkata, filem itu bukan hanya sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip semata-mata.

"Kami mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan masalah pendengaran supaya dapat menonton filem ini.

"Versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi 'closed caption' yang memudahkan penonton daripada komuniti masalah pendengaran.

"Filem magiK memaparkan masyarakat Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini," katanya.

Ditanya mengenai cabaran menjayakan filem itu, Tanaka berkata, cuaca antara yang memberikan kesukaran kepada kru produksi.

"Kami menjalani penggambaran di tepi sungai, jadi memang risau sekiranya hujan. Pernah juga hujan sebelum penggambaran, jadi ia memberi kesan, apatah lagi, ketika itu penggambaran dalam hutan.

"Namun, kami bertuah kerana tidak selalu hujan sepanjang penggambaran," katanya.

Sebelum ini, tayangan khas magiK sudah diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan pada September dan Oktober lalu, sebelum ditayangkan di pawagam mulai kelmarin.

magiK membariskan ramai pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain

Filem ini mengisahkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun Kit tidak berani berkomunikasi dengan orang ramai kerana lebih cenderung untuk hidup dalam dunia yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Disiarkan pada: December 2, 2023 @ 6:43am
d