rap

Konsert Dolla tahun depan

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla bersyukur kerana muzik video (MV) lagu baharu mereka berjudul Classic masih 'trending' atau sohor kini di platform YouTube dengan mendapat tontonan 1.3 juta dalam tempoh empat minggu dilancarkan.

Dolla yang dianggotai empat gadis jelita iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya baru sahaja melancarkan bingkisan album sulung mereka berjudul New Classic pada 17 November lalu.

Lagu terbabit juga mendapat sentuhan penerbit muzik terkenal Korea Selatan iaitu Hyun Shik yang pernah mencipta lagu untuk Justin Bieber, Super Junior, Girls' Generation, NCT dan ramai lagi.

Menurut anggotanya, Sabronzo, mereka sangat gembira dan bersyukur lagu baharu mereka Classic diterima dengan baik oleh peminat.

"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan gembira dengan sambutan hangat pada muzik video Classic itu.

"Bukan sahaja, ia diterima dengan baik dari peminat tempatan, malah, dari peminat kami di luar negara," katanya kepada Harian Metro.

Dolla ditemui selepas menjayakan festival muzik wanita pertama, Queendom Fest yang berlangsung di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Mengulas perancangan Dolla pada tahun depan, kata Angel pula, mereka merancang untuk mengembangkan muzik mereka ke negara sekitar Asia Tenggara.

"Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan Konsert Dolla 2024 khusus buat peminat tempatan," katanya.

Sementara itu, pada festival Queendom Fest, Dolla menyampaikan lima lagu untuk menghiburkan penonton yang sudah hadir sejak jam 3 petang.

Antaranya, lagu baharu kumpulan itu, Classic, Best Side dan Drip. Queendom Fest anjuran penyanyi rap Zamaera ini disokong sepenuhnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan My Creative Ventures.

Selain Zamaera dan Dolla, acara turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi wanita 'indie' antaranya Hullera, Jovynn, Yunohoo, Lil Asian Thiccie, Meliha, The Impatient Sisters, MJisvicious dan SYA.

Festival ini bukan saja menjadi acara persembahan penyanyi wanita beraksi di pentas sekali gus menawarkan hab jualan lebih 40 perniagaan dan vendor tempatan juga milik wanita.

Disiarkan pada: December 17, 2023 @ 12:00pm
d