rap

Tak mungkin saya letakkan kepala di bahu Andi - Puteri Sarah

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur : "Saya hanya berpaling ke arah Andi. Saya tidak letakkan kepala dibahunya."

Demikian kata pelakon Puteri Sarah Liyana mengenai satu hantaran video yang tular ketika dia dan rakan perniagaannya yang berasal dari Indonesia, Andi Arsyil sedang bersiaran langsung di TikTok baru-baru ini.

Puteri Sarah berkata, dia masih tahu menjaga batas dan tidak sesekali melakukan perkara yang akan mencalarkan namanya.

"Janganlah asyik nak cari salah saja. Boleh fikir secara logik takkanlah saya nak letakkan kepala di bahu lelaki yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ketika siaran langsung. 

"Saya tahu ramai yang ingin mencari silap saya. Ada saja yang tak kena di mata mereka.

"Malah ada juga yang sengaja meninggalkan komen jahat ketika siaran langsung saya bersama Andi baru-baru ini. Tak bolehkah mereka hidup dengan tenang?," katanya kepada Harian Metro. 

Menerusi video yang tular memperlihatkan ibu kepada dua cahaya mata itu sedang menangis apabila terdapat netizen yang menghinanya sehingga Andi meminta untuk memaafkan mereka.

Ditanya mengenai tindakan spontan Andi itu, Puteri Sarah berkata, Andi selalu menasihatkan dirinya agar tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa.

"Andi selalu menjadi pendengar  terbaik setiap kali saya tertekan atau murung dengan fitnah atau komen jahat orang luar.

"Apabila saya bercerita dia selalu nasihatkan saya  supaya jangan ambil peduli dan tidak menyimpan dengan mereka.

"Malah dia selalu minta saya memaafkan pihak-pihak yang pernah menyakiti saya supaya hati saya lebih tenang dan positif.

"Alhamdulillah saya dikelilingi dengan insan yang baik dan dia salah seorang individu itu," katanya.

 

Disiarkan pada: December 22, 2023 @ 8:13pm
d