rap

RTM lancar kempen 34 Je Kita Suka

Oleh Lydia Saiful

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya Radio Televisyen Malaysia (RTM) melancarkan kempen 34 Je Kita Suka dengan konsep lebih segar dan santai menghimpunkan kesemua 34 stesen radio di bawah naungannya.

Nombor 34 juga simbolik kepada tiga yang melambangkan Malaysia, Sabah dan Sarawak manakala empat membawa erti warna pada jalur gemilang iaitu merah, putih, kuning dan biru.

Ketua Pengarah Penyiaran (KPP), Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata kempen ini adalah idea baharu yang diwujudkan bagi meningkatkan jumlah pendengar RTM di seluruh negara.

"Saya juga diberitahu bahawa ada pelajar Malaysia di luar negara gemar mendengar media tradisional seperti radio bagi mengubat rindu mereka pada tanah air melalui aplikasi RTM Klik.

"Jadi menurut saya, perkara itu adalah sesuatu menggembirakan bagi pihak kami dan ia mesti diketengahkan lebih lagi ke luar negara termasuk kepada pendengar yang berkongsi bahasa seperti Singapura dan Indonesia melalui pelbagai jenis platform.

"Walaupun wujud persaingan antara stesen radio tempatan dengan swasta, RTM bertujuan untuk menyampaikan mesej pembangunan, disulam hiburan dan kandungan radio yang santai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop, berkata, harapan dan matlamat RTM adalah tidak hanya terbatas kepada pendengar setia radio tradisional, tetapi juga diangkat ke platform lain.

"Oleh itu, radio RTM perlu meletakkan sasaran lebih tinggi tahun ini selaras transformasi digital RTM.

"Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 14.6 juta pengikut, penonton dan jumlah suka (likes) diterima di media sosial kami," katanya.

Diterbitkan secara berasingan oleh setiap stesen radio negeri dan kawasan, 34 stesen radio bakal bersiaran serentak pada hari dan waktu yang sama. Program tersebut ke udara selama 34 minit bermula Jumaat hingga Ahad minggu ini dari jam 3.40 petang hingga 4.14 petang.

Disiarkan pada: January 6, 2024 @ 12:43pm
d