rap

Soal 'demand' gaji atau tak, Tyzo tunggu kenyataan rasmi Suria

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan perkara berkenaan," kata bekas penyampai Suria Petang, Tyzo atau nama sebenar, Tuah Zulqarnain Idris, 47.

Tyzo berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kontraknya ditamatkan secara mengejut oleh stesen radio Suria FM kerana dikatakan 'demand' gaji yang tinggi selepas memenangi trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.

Menurut Tyzo, yang sudah tujuh tahun berkhidmat dengan Suria FM, dia akan menunggu kenyataan rasmi dari pihak pengurusan stesen berkenaan terlebih dahulu.

"Saya akan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak terbabit (Suria FM) yang difahamkan bakal berlangsung Jumaat ini, sebelum saya membuat kenyataan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas tawaran dari pihak stesen radio lain pula, kata Tyzo, buat masa ini belum ada tawaran yang secara rasmi lagi.

"Saya memang mengharapkan ada peluang dan ruang untuk saya kembali bertugas dengan stesen radio dengan segera.

"Pada masa sama, saya juga sedang merancang hidup yang lebih baik demi masa depan anak," katanya.

Terdahulu, berita penamatan kontrak Tyzo secara mengejut dari stesen radio Suria FM mencuri perhatian ramai dan meraih simpati dari ramai pihak termasuk topik perbualan hangat di media sosial.

Ia turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman yang turut mengadakan pertemuan dan memberi sokongan pada penyampai radio terbabit.

Disiarkan pada: January 15, 2024 @ 12:47pm
d