rap

Bayaran boleh bincang, jangan tak masuk akal - Margaret Gan

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Margaret Gan, 81, pernah menolak tawaran berlakon dengan bayaran RM250 untuk satu episod yang disifatkan tidak setimpal untuk pelakon berpengalaman dan berusia sepertinya.

Margaret ditemui berkata, pada usianya yang emas dan masih boleh berlakon, dia ada nilai bayaran tersendiri yang ditetapkan dan boleh dibawa berbincang lagi sekiranya betul-betul serius ingin memberikan tawaran itu.

"Saya terus saja menolak tawaran lakonan itu sebaik dimaklumkan bayaran disediakan RM250 untuk satu episod. Bagi saya, bayarannya terlalu rendah dan lebih baik ditolak kerana tidak setimpal.

"Kerja berlakon ini memerlukan komitmen tinggi di set penggambaran. Jadi, berikan bayaran yang baik, kalau pun tidak dapat memenuhi nilai sebenar (bayaran) pelakon itu yang ditetapkan.

"Perkara membabitkan bayaran ini boleh dibincang, sebab kami yang juga pelakon veteran ini memahaminya. Cuma, janganlah sampai terlalu rendah dan tidak masuk akal pada zaman sekarang, ia tidak sesuai," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Margaret, ketika ini semua perkara memerlukan wang dan atas sebab itu, dia masih lagi ingin berlakon.

Cuma, sejak enam tahun lalu dia tidak lagi menerima tawaran berlakon.

Terdahulu, Margaret ditemui hadir menerima sumbangan bantuan menerusi program Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di kediamannya di Seputeh, Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Margaret turut meluahkan harapan agar pihak berkaitan dalam industri seni dapat menyelenggarakan skim bantuan bulanan kepada pelakon veteran berusia 70 tahun dan ke atas bagi meringankan beban mereka.

"Ramai pelakon seusia saya, sekitar 70 tahun, 80 tahun dan ke atas tidak lagi mendapat tawaran berlakon walaupun ada di antara kami masih berkemampuan untuk berlakon.

"Macam saya sendiri, masih sihat serta mampu menghafal skrip dengan baik walaupun sekarang sudah berumur 81 tahun. Tapi, sayangnya tiada tawaran diterima dan saya banyak habiskan masa di rumah.

"Kali terakhir saya berlakon, seingatnya pada 2018 lalu. Sekarang, memang tiada tawaran diterima dan baru-baru ini ada produksi hubungi untuk memberi tawaran lakonan sempena Tahun Baru Cina, tapi akhirnya mereka senyap begitu saja," katanya.

Kata ibu seorang anak yang mempunyai dua cucu ini, dia anggap tiada rezekinya untuk berlakon naskhah itu berikutan sambutan Tahun Baru Cina pun tidak lama lagi.

Sementara itu, program anjuran Finas berkenaan turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) yang menyenaraikan 100 penggiat seni sebagai penerima bantuan tahun ini.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Disiarkan pada: February 6, 2024 @ 1:33pm
d