rap

Kes langgar kontrak, Hun Haqeem diarah bayar RM600,000 pada MIG

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Hun Haqeem kena bayar balik kerugian yang dialami syarikat."

Demikian kata penerbit, Datuk David Teo yang berkongsi mengenai kemenangannya atas kes perlanggaran kontrak membabitkan bekas artis di bawah syarikatnya, Hun Haqeem.

David berkata, mahkamah sudah memutuskan supaya Hun membayar ganti rugi sebanyak RM613,950 kepada syarikat milik David, Metrowealth.

"Pada 27 November 2023, Mahkamah Rayuan sudah membuat sidang virtual dan memutuskan rayuan kami dibenarkan berhubung liabiliti dengan kos sebanyak RM15,000.

"Keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan kes ini, dia (Hun) kena kembalikan ganti rugi sebanyak RM613,950 dengan syarat, saya buktikan semua kos kerugian.

"Mahkamah juga mengetepikan perintah mahkamah tinggi untuk bayar balik tunggakan sebanyak RM30,240," katanya.

Menurut David, Mahkamah Shah Alam pada awalnya memutuskan kes ini selesai tanpa menang atau kalah, namun, pihaknya membuat rayuan.

"Jadi, permulaan adalah di Mahkamah Shah Alam yang mengatakan, tak ada menang dan tak ada kalah. Jadi, dia tak perlu bayar ganti rugi dan saya pun tak menang. Jadi, sebab itulah kami buat rayuan.

"Sekarang, dia perlu pulangkan jumlah pertama iaitu RM30,240. Itu sudah jadi duit syarikat. Dengan tambahan yang kami buktikan semua resit, dia kena bayar RM613,950," katanya.

Hun yang setakat ini baru membayar separuh daripada jumlah pertama, menamatkan kontrak pada 2021 dan masih berbaki lebih kurang dua tahun.

"Kontraknya sepatutnya lima tahun. Dia keluar pada 2021 dan tinggal baki lebih kurang dua tahun lebih. Waktu itu, namanya sedang 'meletup'.

"Sebab itulah kerugian jadi besar. Kalau dia keluar waktu baru masuk, tak ada kerugian sebab kami tak labur banyak. Tapi, ini dah labur, sebab itu banyak tawaran kerja dia batalkan. Bila batal, jadi kerugian.

"Sampai sekarang, dia baru pulangkan separuh sahaja dari jumlah RM30,240. Kalau dia gagal bayar, secara automatik, dia akan diisytiharkan muflis," katanya.

David juga menegaskan bahawa Hun adalah artis pertama di bawah syarikatnya yang dibawa ke mahkamah dan mengikut jalan undang-undang walaupun isu perlanggaran kontrak ini, bukan isu baharu.

"Sebenarnya, sepanjang menjadi syarikat merekrut artis, ada beberapa artis yang pernah buat begini. Tapi, sebab nama mereka tak terlalu popular, kami bagi saja peluang.

"Tapi, memang sebelum tandatangan kontrak, saya cakap awal-awal supaya tak jadi kacang lupakan kulit. Tapi, ia tetap berlaku. Ada yang kami tak kisah, kami lepaskan sahaja memandangkan pelaburan tak banyak.

"Sebenarnya, dia mula jadi hero, dalam filem YouTube saya, Legenda Budak Kolej. Dia jadi hero. Dalam filem pendek jenama makanan, dia jadi hero juga. Kalau dulu, siapa nak panggil dia jadi hero. Jadi, memang saya sekarang gunakan YouTube saya untuk naikkan nama artis sebagai hero dan heroin.

"Jadi, dia adalah artis pertama yang kami gunakan jalan undang-undang dan bawa ke mahkamah. Semasa dia keluar, dia langsung tak boleh berunding dan tak bertolak ansur," katanya.

David juga meminta agar kes ini dijadikan pengajaran terutamanya buat artis baharu.

"Ini satu pengajaran kepada artis-artis yang belum berjaya. Jangan janji, tapi tak pasti. Kamu tandatangan kontrak, tapi lupa perjanjian yang dibuat. Itu prinsip seorang manusia yang memegang tanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2024 @ 7:54pm
d