rap

Bab 'percintaan' Sharnaaz dan Amelia, saya tak masuk campur - Noor Nabila

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan, Noor Nabila tidak mahu mencampuri urusan perhubungan bekas suaminya yang juga pelakon popular, Sharnaaz Ahmad dengan Amelia Christie.

Nabila ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia bagaimanapun sentiasa mendoakan jodoh yang terbaik buat kedua-duanya.

"Bab 'percintaan' Sharnaaz dan Amelia, saya tak masuk campur. Bagi saya, kalau mereka tiada jodoh, nak buat macam mana, kita tak boleh nak melawan takdir kan.

"Cuma saya sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk mereka sama ada mereka bersama atau pun tidak.

"Sehingga hari ini kami selalu buat panggilan video atau berhubung. Saya selalu beritahu Amelia walau apapun terjadi saya dan Jayden akan sentiasa ada untuk dia.

"Lagipun sekarang ini, Jayden memang lebihkan Amelia. Semua hal dia nak kongsi dengan Amelia dan kami ikhlas sayangkan dia macam keluarga kami sendiri," katanya.

Menurut Nabila, dia mengaku selesa berkawan dengan Amelia serta membenarkan wanita itu mendekati Jayden kerana keperibadiannya yang baik serta pandai menghormati orang lain.

"Kali pertama saya bertemu dengan Amelia sekitar hujung tahun lalu. Ketika itu kami terbabit dengan sebuah penggambaran untuk satu jenama makanan.

"Terus terang, saya suka cara dia bawa diri dan dia sangat menghormati orang. Sejak itu kami berhubung dan pergi bercuti bersama-sama di Jepun.

"Masa bercuti kami jadi makin rapat sebab saya berpeluang untuk kenal dia lebih dekat. Orang kata kalau kita nak kenal orang kena pergi 'travel' bersama baru kenal perangai orang.

"Jadi secara tak langsung saya boleh nampak keikhlasan dia, cara dia layan orang sekeliling selain pandai bawa diri hingga saya dah anggap dia macam adik sendiri," katanya.

Terdahulu Sharnaaz enggan memberikan sebarang komen berhubung hubungannya dengan Amelia yang didakwa sudah putus selepas dikatakan saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Sebelum ini, Sharnaaz dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Amelia selepas kerap muncul berdua di beberapa acara hiburan.

Spekulasi itu semakin bertiup kencang apabila Sharnaaz bercuti ke Jepun bersama Amelia, Jebat dan bekas isterinya, Noor Nabila pada tahun lalu.

Selain bercuti, Amelia juga dikatakan beberapa kali berkunjung ke rumah Nabila sebelum ini sekali gus menguatkan lagi gosip cinta antara mereka.

Sebelum ini, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.

Disiarkan pada: February 28, 2024 @ 12:48pm
d