rap

Tipulah kalau tak rasa pelik - Erra Fazira

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Saya sekarang semakin mengakui bahawa membesarkan seorang remaja perempuan memang mencabar. Saya memahami perumpaan mengatakan menjaga 10 anak lelaki lebih mudah berbanding menjaga seorang anak perempuan."

Demikian ulas Primadona tanah air, Erra Fazira atau Fazira Wan Chek, 50, mengenai bagaimana kepayahan dan kesukaran membesarkan anak perempuan dengan statusnya sebagai ibu tunggal.

Menurutnya dia perlu lebih memantau anaknya itu kerana khuatir jika mereka tersilap langkah.

"Sekarang ini memang akui agak mencabar membesarkan anak perempuan yang semakin membesar. Selepas melaluinya sendiri baru saya sedar mengenainya.

"Anak perempuan ini kena bermain dengan emosi yang kadang-kadang tidak menentu, memang sangat perlu bersabar dan tipulah kalau tak rasa pelik kadang-kadang.

"Ini merupakan proses normal bila saya bertanya kepada ibu yang lain, inilah yang saya perlu tempuh lagi pun saya tak berikan kebebasan sepenuhnya buat anak saya, saya akan pantau begitu juga bapa dia," kata Erra yang dianugerahkan trofi Anugerah Primadona Telenovela pada Anugerah Telenovela Ke-9 baru-baru ini.

Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, sebelum bercerai pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Disiarkan pada: February 28, 2024 @ 12:55pm
d