rap

'Saya dan Sharnaaz sudah lama 'move on'' - Nabila

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya dan Sharnaaz sudah lama 'move on' dan kami selesa dengan kehidupan masing-masing."

Demikian kata pempengaruh dan usahawan, Noor Nabila selepas dihujani pertanyaan netizen yang meminta dia dan bekas suaminya yang juga pelakon Sharnaaz kembali bersama.

Ia susulan kenyataan Sharnaaz yang enggan memberikan sebarang komen berhubung hubungannya dengan pelakon Amelia Christie sudah berakhir selepas dikatakan saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Nabila berkata, dia mengaku belum bersedia untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

"Kami berdua profesional sebab kami ada anak bersama.

"Lagipun saya belum bersedia untuk menjalin hubungan dengan sesiapa. Saya mahu fokus pada diri dan anak saya.

"Jujur saya tiada masa nak fikir soal bercinta sekarang," katanya.

Menurut Nabila, dia bagaimanapun belum menutup pintu hatinya untuk kembali berumah tangga selepas melalui episod kegagalan sebelum ini.

"Kalau ada rezeki untuk saya berumah tangga lagi dan masa itu sesuai saya terima apa saja takdir yang tertulis untuk saya," katanya.

Untuk rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada Mac 2017, namun bercerai pada Julai 2020.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.

Disiarkan pada: February 28, 2024 @ 4:29pm
d