rap

'Kita semua sama'

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Saya dilahirkan memang bukan anak orang senang. Saya juga pernah hidup susah dan tinggal di kawasan flat (apartmen) sebelum ini," kata pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan.

Rozita yang mesra disapa Che Ta, 51, berkata, arwah bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun dan ibunya terpaksa mencari kerja untuk menyara mereka sekeluarga.

"Emak seorang suri rumah dan tidak pernah bekerja seumur hidupnya.

"Emak juga terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah Toklah yang menjaga kami adik beradik.

"Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain, pun," katanya kepada Harian Metro.

Che Ta ditemui pada sesi talkshow Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di pusat beli-belah, My Town di sini, baru-baru ini.

Namun, kata Che Ta, kehidupannya sekeluarga mula berubah bila dia bekerja sebagai pramugari pada usia 17 tahun dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

"Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi bercerai pada usia 30 tahun.

"Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah ketika itu. Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam," katanya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta berkata, dia kembali dalam bidang pemodelan dan menceburi bidang lakonan selepas bercerai untuk menyara dirinya dan anak-anak.

"Kaum wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki.

"Saya sendiri, bila bercerai tak dapat harta apapun. Selama 10 tahun, saya hidup menjanda sampailah saya berkahwin dengan Zain," kata isteri kepada pelakon Zain Saidin itu.

Kata Che Ta lagi, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.

"Saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.

"Tapi, sampai bila saya nak berlakon sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan keluarga, " katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.

Menurutnya, suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan.

"Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan pelbagai faedah termasuk kematian.

"Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim ini.

"Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis," katanya.

Acara turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program Perkeso Membawa Senyuman iaitu Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 6:30am
d