rap

Izara Aishah amal selawat, usaha kekal istiqamah

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Dijentik pintu hati berubah sepenuhnya, pelakon Izara Aishah mengakui bukan mudah untuk kekal istiqamah dalam penghijrahan.

Berhijab dan berubah ke arah kebaikan kerana Allah SWT, Izara atau pemilik nama penuh, Izara Aishah Hisham akui bimbang berubah hati namun mengamalkan selawat untuk terus mengekalkan iman.

"Saya pun selalu lemah juga, iman pun tak kuat sangat. Kadang-kadang sebagai manusia iman turun naik. Tetapi saya berubah ini kerana Allah SWT sebab tu saya macam kuat sedikit.

"Menurut seorang ustaz, apabila iman sedikit lemah, perbanyakkan selawat. Katanya kalau 500 sehari pun tak mencukupi, harus 1000 kali berselawat atau lebih.

"Jadi perkongsian itu memang sangat membantu saya sendiri. Jadi saya kongsikan untuk kebaikan bersama," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Izara mengakui lebih selektif berbanding sebelum ini.

Dia turut meletakkan syarat bertepatan dengan imej dan statusnya.

Justeru, dia enggan pihak penerbit atau pengarah jelak dengan permintaan yang diletakkan olehnya.

"Rasanya semua sedia maklum yang saya memang tegas dengan apa yang saya mahukan. Jadi apabila sudah bertudung lebih 'strict' berbanding sebelum ini.

"Contohnya seperti adegan atau babak dalam bilik saya tidak selesa untuk lakonkan. Malah, saya juga berpendapat tak logik jika adegan di rumah dengan imej bertudung.

"Sebabnya jika kita di rumah kita tidak bertudung. Jadi mungkin sebab-sebab ini yang membuatkan saya sudah lama tidak berlakon. Mungkin syarat-syarat yang dikenakan juga membuatkan ramai pihak 'rimas'," kata Izara.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 2:41pm
d