rap

Redza nafi 'kasanova' di lokasi penggambaran

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Pelakon Redza Rosli, 32, mengambil pendekatan memaafkan semua orang yang bercakap kurang baik mengenai dirinya walaupun tidak pernah mengenali siapa mereka itu.

Redza berkata, sebagai pelakon yang terbabit dalam karier seni sudah pasti sukar untuk menutup dan mengawal mulut orang lain daripada bercakap mengenai dirinya.

"Pada mereka semua, saya dah maafkan siapa yang berkata dan mengata mengenai saya sebab saya pun tak kenal anda. Terpulang pada anda nak cakap macam mana pun.

"Mungkin ada yang suka, ada yang tak suka, bagi saya itu benda yang indah. Sebab apabila orang bercakap mengenai kita, maknanya jadi topik perbualan mereka. Jadi, doakan yang baik saja," katanya ditemubual program Melodi TV3.

Menurut Redza, hanya dia lebih tahu mengenai diri sendiri, termasuk macam mana pembawakan dirinya dulu semasa memulakan pembabitan sebagai pelakon sehingga sekarang.

"Kadang-kadang ada orang komen baik dan tak baik, tapi saya ambil semua itu sebagai pengalaman. Itu semua saya terima saja dengan baik dan hati terbuka," katanya.

Turut dikaitkan dengan dakwaan dirinya seorang kasanova di lokasi penggambaran, Redza menafikannya dan memberitahu dia baik dengan rakan pelakon wanita hanya atas urusan kerja.

"Kasanova di lokasi?, tak ada pun. Banyak saja saya berlakon dengan heroin wanita, tapi hanya sebab kerja. Rapat kerana berbincang mengenai babak akan dilakonkan kerana saya memikirkan kerjasama dalam satu produksi.

"Saya memang baik dengan semua orang, mesra dengan semua orang, sebab buat apa nak bersendiri di set 'shooting'. Tapi, lebih banyak kepada berbincang dan merancang untuk buat sesuatu babak saja.

"Kalau ikutkan diri saya sebenar, memang kurang bercakap dengan orang. Tapi bila kita banyak diam, orang cakap pula kita ini sombong, berlagak, tapi saya tak macam itu pun," katanya.

Redza yang banyak melakonkan watak hero dalam drama drama terbitan TV3, kini muncul dengan drama Wanita Syurga arahan Riza Baharudin sebanyak 35 episod di slot Akasia.

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 3:35pm
d