rap

Rakan baik percaya Ruhainies tak terbabit kegiatan tak bermoral

Oleh Ramlah Zainal

Shah Alam: "Keadaan dia (Ruhainies) baik-baik sahaja dan masih bekerja seperti biasa. Tetapi dia kini lebih banyak berdiam diri," kata sahabat baik merangkap pembantu peribadi sambilan kepada pelakon Ruhainies iaitu Ahmad Zahar ketika diminta mengulas keadaan pelakon itu susulan dakwaan ditangkap khalwat bersama pelakon Aliff Aziz di kondominium mewah, baru-baru ini.

Kata Ahmad Zahar, dia juga menasihati Ruhainies supaya tidak membaca komen netizen di media sosial. 

"Sebagai rakan, saya juga menasihati dia tidak membaca dan menutup ruangan komen di media sosial. Bagaimanapun dia tahu perkembangan berlaku. 

"Di pihak saya, memang sedikit tertekan membaca komen dan kecaman netizen di media sosial," katanya. 

Kata Zahar lagi, dia juga yakin Ruhainies tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak bermoral itu.

"Dia seorang yang lemah lembut dan saya juga terkejut menerima berita Ruhainies ditangkap khalwat berkenaan.

"Saya dapat tahu berita itu pada Sabtu. Saya juga terkejut dan tidak mahu komen tentang kejadian itu kerana tiada di lokasi. 

"Tak mungkin Ruhainies berbuat begitu. Dia seorang yang baik, sopan-santun dan lemah-lembut. Dia bukan jenis begitu seperti yang diperkatakan," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis berbuka puasa anjuran pelakon dan pengacara Izzue Islam di Kueh Cafe di sini, malam tadi.

Sementara itu, seorang lagi sahabat Ruhainies, Fyzal juga menafikan dia dan Zahar adalah pembantu peribadi Ruhainies yang didakwa bersama pelakon itu pada malam kejadian. 

Katanya, ada seorang lagi individu yang sepatutnya  menemani Ruhainies ketika itu. Difahamkan dia dalam perjalanan ke kondominium berkenaan untuk mengambil baju.

"Saya dan Zahar tiada di tempat kejadian. Ada orang lain yang bersama dia pada malam itu.," katanya.

Terdahulu, pada 9 Mac lalu, Ruhainies ditahan bersama Aliff oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) atas dakwaan berkhalwat. 

Kedua-dua mereka kemudian tampil memohon maaf namun menafikan segala dakwaan yang dibuat. 

Mereka juga dijangka bakal didakwa di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

 

Disiarkan pada: March 18, 2024 @ 11:34pm
d