rap

Abby guna taktik berlembut tangani isu Marissa

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur: Abby Abadi mendakwa belum nampak jalan penyelesaian berhubung isu anaknya, Marissa Dania Hakim berkahwin secara rahsia di Thailand yang hangat diperkatakan netizen, akhir-akhir ini.

Abby atau nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan enggan memaksa anaknya itu membuat keputusan kerana bimbang mengeruhkan lagi keadaan.

"Kami ada berjumpa sebelum ini dan orang ada bertanya, kenapa saya tidak paksa atau ajak Marissa berbincang mengenai isu ini. Namun, ia tidak semudah dikatakan.

"Kita jumpa sebab hendak perbaiki hubungan. Tetapi kalau perjumpaan itu bertujuan untuk saya bangkitkan topik perkahwinan dan dia tak nak dengar serta melarikan diri, masalah itu takkan selesai.

"Jadi, saya cuba berlembut untuk perbaiki hubungan. Sekarang adalah tempoh bertenang untuk beri dia peluang perbaiki keadaan.

"Saya ada bertanya sampai bila perkara ini akan berlanjutan. Dia hanya minta diberikan masa. Jadi, kita tunggu sajalah," kata Abby ketika ditemubual dalam program podcast.

Abby turut memaklumkan Marissa berat mulut dan menyebabkan sukar untuknya meneka apa yang tersirat dalam hati anaknya itu.

"Anak saya itu memang kurang bercakap. Jadi, banyak persoalan yang tidak terjawab. Dia buat diam sahaja. Kita pula jenis orang yang tidak suka memaksa.

"Jika itulah yang dia mahukan, saya biarkan sahaja. Jadi, kita tunggu sajalah hari yang sesuai dan Allah izinkan, kita berjumpa serta bercakap mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Abby dilapor mengesahkan Marissa sudah pun bernikah dengan Mohd Aslam di Songkhla, Thailand, pada 27 Disember tahun lalu.

Pasangan itu dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, iaitu Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.

Pernikahan itu berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk Abby dan bapanya, Norman Hakim.

Baru-baru ini, Marissa dan Aslam membuat kejutan apabila tampil sebagai model sebuah jenama pakaian mempromosikan koleksi Hari Raya.

Dalam perkembangan lain, ibu tiri kepada Marissa iaitu Memey Suhaiza dikecam netizen apabila didakwa tidak sensitif mempamerkan keseronokan berbuka puasa bersama Marissa, suami dan anak-anak mereka menerusi perkongsian video di Instagram (IG).

Rata-rata netizen berpendapat Memey tidak sepatutnya memuat naik video itu ketika Abby dan Norman sedang berbalah berikutan kontroversi anak mereka.

Susulan hantaran yang dimuat naik itu, netizen turut mengungkit kisah lamanya yang pernah menjadi orang ketiga dalam hubungan Abby dan Norman.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 10:45am
d