rap

Shuib marah isu stoking kalimah Allah, rela 'lepaskan' status duta KK Mart

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur : Sebagai seorang umat Islam, pelawak dan bekas penyampai radio, Shuib, 39, sangat terkesan dengan isu membabitkan KK Super Mart yang berlaku sekarang.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad yang juga duta jenama itu akui dia sendiri pun memang sangat marah sewaktu isu terbabit tular, baru-baru ini.

"Sebagai seorang umat Islam, saya terkesan sebenarnya. Tak sepatutnya berlaku dalam apa saja perniagaan dan situasi kerana kita akan marah. Kalimah Allah hal yang terlalu besar.

"Saya marah. Keji sangat apa yang berlaku. Tapi itulah, kes pun belum selesai, siasatan tengah dilakukan. Kalau benar, saya takkan menyokong, tidak akan mengiyakan langsung," katanya ditemui pada majlis iftar Indigital Music dan FYP Media, di sini, semalam.

Sepanjang isu itu tercetus, Shuib berkata, dia hanya menjadi orang luar yang sedang melihat apa perkembangannya.

"Saya nak beri komen lebih pun tak boleh. Tapi bila sampai satu tahap nanti, mungkin saya boleh buat sesuatu daripada apa yang berlaku. 

"Saya tak boleh komen lanjut sebab ia membabitkan perniagaan, sensitiviti orang. Tapi pendirian saya kuat sebagai seorang umat Islam bahawa hal yang salah, melanggar, saya takkan sokonglah," katanya.

Sudah hampir empat tahun menjadi duta, Shuib memaklumkan kontraknya masih panjang bersama jenama itu kerana baru memperbaharuinya.

Bagaimanapun, dia sedia melepaskan tanggungjawab sebagai duta jika terpaksa.

"Kalau begitu jalan ceritanya. Sebab saya sentiasa percaya rezeki. Tapi ikut mana pun, saya sentiasa meletakkan diri adalah seorang Islam," katanya.

Berhubung tawaran menjadi duta, Shuib berpendapat langkah terbaik adalah untuk bijak menyelidik keseluruhan aspek sebelum menerimanya.

"Hal itu subjektif sebab kita pun tak tahu ke depannnya bagaimana kan. Apabila tawaran itu datang, banyak hal yang diambil kira. Tapi mungkinlah bila ditawar selepas ini, kena selidik dulu," katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah cawangan KK Super Mart selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan itu, pengurusan KK Super Mart diketuai KK Chai memohon maaf secara terbuka dan menghentikan penjualan stoking itu serta-merta.

 

 

 

Disiarkan pada: March 21, 2024 @ 10:51am
d