rap

'Perempuan kalau dah suka hak orang, tetap nak rampas' - Che Ta

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon terkenal Rozita Che Wan atau Che Ta mendedahkan sememangnya wujud segelintir wanita yang terdesak untuk memiliki lelaki kepunyaan wanita lain. 

Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 51, berkata, senario ini seakan lumrah dikalangan wanita zaman sekarang. 

"Macam inilah, perempuan kalau dah memang suka hak orang, gasak macam mana pun tetap nak rampas. Selalunya hanya wanita yang akan menyakiti hati perempuan lain, itu saja saya boleh cakap.

"Kebanyakan orang terdekat dengan kita adalah individu yang akan merampas hak kita sebab dia tahu kehidupan, keadaan dan harta benda milik suami kita, jadi hati-hatilah. 

"Macam saya tiada kawan perempun, semua pondan. Jangan salahkan sebelah pihak, salahkan kedua-duanya. Saya sangat setuju kalau nak boikot penyondol, sesuai muka dia," katanya. 

Pelakon sensasi ini yang turut ditanya sekiranya ada memeriksa telefon bimbit suaminya juga pelakon Zain Saidin, memberitahu dia tidak sesekali berbuat demikian kerana meletakkan kepercayaan terhadap Zain. 

"Saya memang percayakan Zain, begitu juga sebaliknya. Masing-masing tahu batasan sebagai individu yang sudah berkeluarga.

"Saya memang tiada masa nak periksa mesej yang masuk dalam telefon suami, tapi Zain sendiri tahu saya akan melenting kalau dia buat yang bukan-bukan.

"Saya dah beritahu dia siap-siap, kalau ada orang sampaikan maklumat dan 'kantoi', maka cukuplah setakat itu. Tiada penerangan yang saya akan terima," katanya di temui pada majlis berbuka puasa anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di sebuah hotel, baru-baru ini. 

Fenomena selebriti atau orang awam disondol  'orang ketiga' dalam perhubungan bukan perkara baharu sekarang ini. Malah budaya itu mengakibatkan keruntuhan rumah tangga pasangan yang berkahwin.

 

Disiarkan pada: March 21, 2024 @ 8:34pm
d