rap

'Seperti biasa, dia tak datang' - Nurul Shuhada

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: Bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri kesal apabila Hafidz tidak hadir sesi tuntutan hadanah di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Shuhada ketika ditemui di mahkamah berkata, tindakan Hafidz itu juga boleh melambatkan proses perbicaraan tuntutan hadanah yang difailkan Hafidz sebelum ini.

Shuhada berkata, kes ini perlu diselesaikan segera bagi memudahkan urusan rasmi berkaitan kedua-dua anak mereka, Humairah dan Umar.

"Seperti biasa, dia tak datang. Katanya, ada hal yang tak dapat dielakkan. Dia sepatutnya berikan komitmen kerana ini membabitkan anak-anak. Kalau boleh, kita nak percepatkan sebab dia yang failkan. Jadi, dia kena berikan kerjasama yang sepatutnya.

"Hal anak-anak, saya memang sensitif. Kalau boleh, nak ada keputusan cepat-cepat. Saya nak ada hak itu. Sekarang, anak-anak semakin membesar dan semua urusan rasmi perlukan sijil hak penjagaan itu. Jadi, janganlah anggap benda itu remeh.

"Saya dari jauh boleh datang, dia yang dekat tak boleh datang. Kenapa? Berilah kerjasama. Dia yang failkan, dia yang bersemangat sangat pada awalnya. Jadi, teruskanlah semangat itu dan janganlah separuh jalan," katanya.

Tanpa kehadiran Hafidz, perbicaraan kes hadanah itu terpaksa ditunda ke 28 Mei ini.

"Ini belum habis lagi dan sangat panjang lagi. Bagi saya membazir masa sebab tak jumpa penyelesaiannya. Jadi, saya nak percepatkan proses itu sebab dia pun dah ada kehidupannya. Jadi, saya kena berjuang untuk anak-anaklah.

"Saya kena dapatkan hak untuk anak-anak. Kalau boleh saya nak anak-anak gembira dan hidup senang sahaja. Saya harap selepas ini dia berikan kerjasama. Kita mudahkan orang lain, Allah akan mudahkan kita," katanya.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini meluluskan permohonan Shuhada bagi menambah pihak ibunya, Wan Latipah Yusof sebagai penjaga kepada anak-anaknya dan sebagai pihak dalam interim hadanah dan induk hadanah.

Shuhada dan Hafidz berumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua anak, Humairah dan Umar sebelum sah bercerai dengan talak satu pada 27 Julai lalu.

Disiarkan pada: March 26, 2024 @ 12:17pm
d