rap

Duit, kos dan untung rugi tidak boleh dipandang remeh - Aina Abdul

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul mengingatkan kepada penyanyi-penyanyi yang ingin mengadakan konsert solo supaya berterus terang bercakap soal duit kepada mana-mana pihak terutama penganjur acara atau konsert.

Aina berkata, selepas melalui pengalaman yang disifatkan satu pengajaran besar dan tidak boleh dilupakan sewaktu menganjurkan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA) yang berlangsung pada 18 November tahun lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dia mengaku setiap perkara kini harus dibincangkan secara terbuka dan mempunyai kontrak.

"Kita selalu takut untuk bercakap fasal duit dalam ruang yang terbuka tapi sebenarnya benda itu amat penting. Duit, kos dan untung rugi adalah hal yang tidak boleh dipandang remeh. Perlu jelas dengan soal perniagaan muzik sebab banyak sangat benda berlaku.

"Apa yang berlaku pada saya adalah apabila sudah separuh jalan baru tahu perkara yang dipersetujui berbeza dengan pemahaman saya. Itu yang saya belajar.

"Saya tidaklah matang sangat dalam industri sebab baru mengadakan beberapa konsert saja, tetapi sekarang adalah masa ramai penyanyi selesa untuk mengadakan konsert jadi, pesanan saya pastikan bincang soal duit dan harus ada hitam putih (kontrak)," katanya.

Menurut Aina, dia turut mendedahkan konsert ANWAA 3.0 tidak memberi sebarang keuntungan kepada dirinya.

"Sebenarnya saya masih tidak jelas sampai sekarang. Kalau tanya saya di mana keuntungan, saya tidak rasa apa-apa.

"Jadi, kita lihat macam mana rezeki akan datang dan bagaimana kita boleh selesaikan isu dalaman yang berlaku ini. Tetapi buat masa ini masih terumbang-ambing walaupun nampak seolah-olah ada harapan tapi di pihak saya pula tak berani nak cakap," katanya.

Menurutnya, biarpun berdepan pelbagai ujian menerusi penganjuran ANWAA3.0, namun Aina tidak berhasrat untuk membawa perkara berkenaan ke muka pengadilan.

"Saya sendiri pun banyak kesilapan. Malah, pihak saya sendiri tidak berapa tegas dan tidak pandai dalam urusan bisnes.

"Jadi, saya tidak akan ambil sebarang tindakan hanya 'move on' sahaja dan buat benda lain pula," katanya yang tidak pernah serik untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak lain selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Aina baru saja melancarkan lagu Jalan-Jalan Hari Raya selain sedang sibuk membuat persiapan untuk konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang dijadual berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei nanti.

Disiarkan pada: March 28, 2024 @ 3:25pm
d